MANFAAT peluang, Azzam akui bukan mudah dia memahat nama pada tahap sekarang.
MANFAAT peluang, Azzam akui bukan mudah dia memahat nama pada tahap sekarang.
Norhayati Nordin


SELEPAS muncul sebagai juara Big Stage 2020, penyanyi Azzam Sham tekad mahu fokus pada kerjaya seninya dengan lebih serius, termasuk merebut apa saja peluang yang datang.

Akur, tiada jalan pintas untuk berjaya, Azzam kini rancak mengatur perancangan sebaiknya untuk tahun hadapan dalam usaha mencapai setiap impian yang tersemat di jiwa.

Kini muncul dengan lagu baharu berjudul Cinta Jangan Pergi ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya, pemuda berusia 23 tahun ini berharap bakat nyanyiannya terus bersinar gemilang.

"Bukan mudah buat saya berada di tahap sekarang. Sejak kecil, ketika berumur 12 tahun lagi saya sudah pun berusaha untuk mengejar impian.

"Meskipun, perjalanan kerjaya seni saya agak berliku tetapi tak mengapa kerana kisah kehidupan setiap orang itu berbeza. Namun, yang pasti keluarga terutama ibu bapa memberi restu.

"Setakat ini, saya semakin yakin dengan hala tuju kerjaya nyanyian. Ditambah, saya juga mendapat pasukan peminat yang sentiasa ada memberi sokongan," katanya.

Mengharapkan lagu Cinta Jangan Pergi membantu melonjakkan nama dan kerjaya nyanyiannya, Azzam atau nama sebenar Muhammad Azzamuddin Lop Hisham berkata, dia sudah puas bekerja keras selama ini.

"Sebenarnya sudah banyak pun lagu yang saya hasilkan sebelum ini, tapi tiada rezeki kerana kurang mendapat sambutan. Hingga pernah terdetik mahu meninggalkan bidang seni.

"Apapun, itu hanya sekadar hasrat disebabkan terbit rasa kecewa di hati. Namun, Allah mengaturkan segala-galanya dan sebaik-baik perancang.

AZZAM Sham kini pertaruhkan lagu baharu berjudul Cinta Jangan Pergi.
AZZAM Sham kini pertaruhkan lagu baharu berjudul Cinta Jangan Pergi.

"Penyertaan dalam Big Stage 2020 ternyata membawa saya pada satu dimensi baharu. Banyak pengalaman dan perspektif yang lebih positif saya timba bagi menguatkan semangat terus berjuang," katanya.

Ujar Azzam, kini dia sentiasa bersemangat menjalani hari-hari mendatang dengan rasa bahagia. Katanya, diri sendiri perlu rasa gembira dahulu sebelum mahu menceriakan orang lain.

Azzam yang melanjutkan pengajian dalam Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), turut berhasrat menyambung kuliahnya ke peringkat ijazah sarjana muda.

Katanya dia suka belajar dan mahu bergelar pendidik suatu hari nanti. Bagaimanapun, sekarang dia gembira penerimaan peminat terhadap kerjaya seni sangat baik serta memberangsangkan.

"Alhamdulillah, saya pun kini makin banyak menerima tawaran menyanyi dan berlakon. Bagi saya, bakat yang dimiliki selama ini sudah mula dapat dilihat oleh banyak pihak.

"Terima kasih kerana nampak potensi bakat yang ada pada saya. Insya-Allah, saya akan cuba sedaya upaya memberi yang terbaik dan memastikan peluang diberikan tidak sia-sia," katanya.

Pada tahun lalu, Azzam tampil dengan lagu Biar Saja yang dipilih menjadi lagu tema drama Setelahku Dimiliki di TV3. Malah, video muzik lagu itu di YouTube sudah mencatat 1.1 juta tontonan dengan lebih 800 komen diterimanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:21 AM