Sofea melakonkan watak Dr Tini dalam drama I-Tanggang.
Sofea melakonkan watak Dr Tini dalam drama I-Tanggang.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Datin Sofea Jane ingin mengajak penonton drama tempatan untuk bersama-sama mewujudkan kesedaran mengenai kesihatan mental yang kini menjadi isu yang hangat diperkatakan.

Sofea ketika ditemubual secara virtual pada sidang media drama bersiri I-Tanggang berkata, karya terbaru lakonannya itu mampu menjadi medium penyampaian mesej untuk isu kesihatan mental terutamanya, dalam situasi pandemik seperti sekarang.

"Selalunya, isu ini diketepikan. Jadi, saya rasa dengan cerita I-Tanggang ini, ia akan menjadi medium penyampaian dan revolusi dalam penceritaan," katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, penayangan drama 12 episod itu yang akan mula bersiaran pada 13 September depan itu juga adalah tepat pada waktunya.

"Tayangan drama I-Tanggang ini adalah satu tayangan di waktu yang tepat. Kita sudah melalui pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun dan kesihatan mental adalah isu yang semakin diperkatakan," katanya.

Drama arahan tiga pengarah, Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak itu mengangkat kisah mengenai pesakit mental yang menghidap Munchausen Syndrome by Proxy.

Selain Sofea yang memegang watak sebagai Doktor Tini, drama I-Tanggang juga menampilkan barisan pelakon hebat lain antaranya Sherie Merlis, Faizal Hussein, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Andy Teh, Rashidi Ishak, Rashid Salleh, Syed Nahar, Rosdeen Suboh dan Yuyun Hikmah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:16 PM