AISHA berkongsi rasa keperitan cinta dalam Nukilanku.
AISHA berkongsi rasa keperitan cinta dalam Nukilanku.
Georgie Joseph


Tiada rasa yang lebih memeritkan selain menanti cinta luhur daripada seseorang untuk berputik dalam hati.

Apatah lagi jika seseorang itu cuma dekat dengan kita hanya kerana mengingatkannya kepada cinta lama.

Rasa pedih itu pastinya lebih berat mengenangkan sampai bila perlu menanti untuk cinta kita berbalas. Itu yang cuba disampaikan penyanyi, Aisha Retno menerusi lagu baharu ciptaannya berjudul Nukilanku.

Mendapat sentuhan melodi daripada komposer hebat, Farouk Roman, perjalanan kisah dalam lagu itu cukup meruntun perasaan. Situasi terperangkap dalam ruang cinta yang tak pasti, sesiapa pun pasti sedih.

Walaupun dicipta khas untuk dijadikan runut bunyi drama, Aisha mengakui keperitan itu cukup dirasakan ketika merakamkan lagu Nukilanku.

Baginya, situasi menanti cinta untuk dibalas itu saja pun sudah terlalu menduga emosi.

Justeru, dia berharap lagu terbabit mampu menjadi lagu penenang buat yang berdepan situasi serupa.

"Nukilanku diinsipirasi daripada skrip drama itu sendiri di mana saya menceritakan daripada perspektif watak Hadi yang kematian kembarnya, Hakim. Seorang wanita yang mulanya cintakan Hakim kemudian sukakan Hadi pula.

"Namun, perasaannya itu timbul kerana wajah Hadi yang mengingatkannya kepada Hakim, bukan disebabkan rasa cinta. Jadi, saya mewakili Hadi dalam lagu ini tertunggu bila tibanya perasaan cinta luhur itu buatnya.

SEMAKIN rancak menulis lagu sendiri dan untuk penyanyi lain.
SEMAKIN rancak menulis lagu sendiri dan untuk penyanyi lain.

"Dia berjanji akan setia menunggu bila saat itu akan tiba dan berharap cintanya berbalas walaupun dia tidak tahu bagaimana pengakhirannya. Kiranya, Nukilanku adalah luahan hati seseorang yang mengimpikan cinta itu jadi miliknya," katanya.

Sebagaimana Aisha sendiri menyelami keperitan cerita dalam lagu itu, dia yakin pendengar juga pasti akan berasa sebegitu. Apatah lagi liriknya juga ditulis luhur dari hatinya.

"Saya cuma berharap pendengar akan dapat berasakan rintihan yang saya cuba sampaikan dalam mesej lagu itu. Saya pun sudah lama juga tidak menulis lirik untuk lagu sendiri.

"Penghayatannya jauh lebih berbeza berbanding menulis lagu kepada orang lain. Biar mereka berasakan keperitan cinta tidak berbalas itu dalam nyanyian saya," katanya.

Sebagai penyanyi yang memiliki laras vokal hebat, Aisha mengakui bukan mudah untuknya melunaskan tugasan itu dalam lagu ini.

Dia mengakui berdepan sedikit tekanan ketika proses rakamannya, namun lega kerana mendapat tunjuk ajar terbaik daripada Farouk.

"Alhamdulillah, proses rakamannya sangat lancar dan ia dibuat selama dua hari. Paling saya bersyukur dan istimewanya adalah apabila Farouk sendiri yang menjaga serta memberi tunjuk ajar pada bahagian vokal saya.

"Tidak dinafikan, tekanan itu ada juga kerana selalu bahagian vokal orang lain jaga, tapi kali ini dikemudi komposernya sendiri," katanya.

Bukan setakat melebarkan sayap sebagai penyanyi, Aisha juga semakin rancak menulis lirik lagu buat ramai penyanyi lain. Ia termasuk lagu Sendiri nyanyian penyanyi tersohor, Anuar Zain yang kembali tampil memeriahkan industri muzik.

Bagaimanapun, Aisha mengakui tekanan menulis untuk lagu sendiri lebih terasa.

"Lagu kali ini agak berbeza dengan beberapa lagu terdahulu saya kerana lirik sepenuhnya ditulis saya sendiri. Memang agak merisaukan juga kerana keseluruhan lagu hasil ciptaan dan nyanyian sendiri.

"Apapun, saya berharap pendengar akan dapat menghayati dan merasai bait-bait liriknya yang cukup meruntun jiwa," katanya.

Lagu Nukilanku adalah satu daripada runut bunyi untuk drama Masih Ada Rindu arahan Osman Ali yang ditayangkan di TV3 Slot Akasia bermula Rabu lalu.

Ia dibintangi Farid Kamil, Mimi Lana, Dayang Areeda dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:35 AM