Mahu serlah lagi nama serta bakat seni dengan menulis banyak karya setaraf antarabangsa.
Mahu serlah lagi nama serta bakat seni dengan menulis banyak karya setaraf antarabangsa.
Georgie Joseph


SEMAKIN mengukuhkan nama sebagai penyanyi sejak beberapa tahun lalu, rangkaian diskografi Aisha Retno kian berwarna-warni. Malah, dia antara pendatang baharu yang yakin mengambil risiko.

Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 22, berpaut pada misi teguhnya yang ingin meledakkan lagi nama dan bakat seni. Tiada lain dikejar gadis ini, selain tujuan itu yang padanya nadi terpenting kelangsungan karier muziknya.

Ikutkan, laras kemampuan gadis keturunan Melayu-Indonesia ini cukup variasi. Vokalnya padu, bijak menulis lagu, jiwa muziknya segar, selain cemerlang menyuntik elemen realistik dalam lirik dihasilkan.

Demikian juga penghasilan karya bahasa Inggeris. Aisha membuktikan dia mampu takluk pendengar luar dengan karya setaraf antarabangsa menerusi Wanna Hold U Tight (W.H.U.T) yang kini mendapat puluhan juta penstriman di seluruh dunia.

Tetapi, masih ada jurang kosong yang perlu di isinya dalam profil karier sebagai artis arus perdana. Aisha akui masih merangkak ke tahap yang diimpikan sejak dia terdetik mengejar impian menjadi penyanyi profesional.

"Ya, tak terhingga rasa syukur saya dengan kejayaan luar biasa untuk karya bahasa Inggeris dihasilkan. Pencapaian itu menjadi tunjang untuk saya terus dahaga menghasilkan lagi karya muzik yang mampu tinggalkan impak.

"Namun, saya masih berpegang kukuh dengan misi untuk takluk pasaran arus perdana kita. Ini kerana, saya yakin masih terlalu ramai di Malaysia ini yang tidak kenal siapa Aisha Retno.

"Justeru, saya mahu terus perbanyakan lagu Melayu demi memperkenal lagi nama saya. Malah, saya juga mahu buktikan diri saya mampu berada di tahap itu dan dikenali dengan karya cukup berkualiti," katanya.

Aisha juga bertuah sebenarnya memiliki bakat menulis lagu yang begitu mengagumkan. Setakat ini, dia pernah menulis untuk rakan penyanyi lain termasuk Kaka Azraff, Aina Abdul dan Jaz Hayat, selain lagu sendiri.

Meskipun pembabitannya sebagai penulis lagu cuma bermula tiga tahun lalu, Aisha berazam kukuhkan profilnya dalam cabang seni itu juga. Bahkan, dia sudah impikan dapat buat lagu untuk beberapa nama besar.

"Masih jauh perjalanan saya untuk menggenggam gelaran penulis lagu hebat. Saya bermula pun hanya berbekalkan minat mendalam ingin berkarya dan cipta lagu terbaik yang mampu.

"Saya tidak henti menuntut ilmu dan pertajamkan lagi kemahiran menulis lagu dengan bimbingan rakan penulis lain. Sebolehnya saya mahu legasi sebagai penulis lagu mampu berkembang ke tahap sejauh mungkin.

"Antara penyanyi yang saya teringin sangat nak tulis lagu untuk mereka adalah Dayang Nurfaizah dan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana sangat suka dan kini belajar menulis lagu irama Malaysia, Dengan yakin, saya melihat mereka calon tepat," katanya.

BERHARAP dapat mengadakan ‘showcase’ sendiri tahun depan.
BERHARAP dapat mengadakan ‘showcase’ sendiri tahun depan.

TINGGI HARAPAN MAMPU TANDINGI W.H.U.T

Bertuahnya Aisha, dia tidak perlu menunggu lama untuk melakar nama dalam pasaran lagu Inggeris juga. Kejayaan lagu W.H.U.T benar-benar berjaya meluaskan lagi demografi pendengar muziknya, bukan hanya di Malaysia.

Lagu itu menjadi penanda aras terpenting kerana disebabkan ia juga, nama Aisha kian mendapat tempat di Indonesia dan negara serantau lain. Setiap kali hujung tahun, dia teruja melihat statistik terkumpul penstriman lagu itu di platform muzik digital seperti Spotify.

"Tahun lalu yang juga tahun pertama ia dilancarkan, saya tak berani nak tengok statistik itu. Saya bagi pihak syarikat rakaman yang tolong tengokkan dan bentangkan kepada saya.

"Tapi, tahun ini saya yakin untuk menelaah sendiri berdasarkan pemantauan terdahulu penstrimannya. Alhamdulillah, semakin meningkat dan cukup mengejutkan kerana ia turut distrim di Eropah selain negara serantau yang tidak disangka-sangka seperti Laos, Thailand dan Vietnam," katanya.

Justeru, melancarkan lagu I Love Sadness More (I.L.S.M) memberi sedikit tekanan buatnya. Ini kerana dia semestinya menyimpan harapan karya Inggeris terbaharu itu mampu mencapai kejayaan W.H.U.T.

Apalagi, I.L.S.M diilhamkan daripada rentetan kisah W.H.U.T. Namun, tujuan sebenar Aisha melancarkan lagu itu adalah sebagai hadiah kepada semua pendengar yang sudah menyokong lagu W.H.U.T.

"Memang ada sedikit tekanan kalau berpaksikan kepada kejayaan terdahulu. Tapi, niat asal saya hasilkan I.L.S.M tidak lain mahu jadikan ia hadiah kepada pendengar yang tak henti sokong W.H.U.T.

"Kalau W.H.U.T berkisar cinta monyet, I.L.S.M pula ke arah memburu cinta serius dan lebih matang. Ramai juga marah saya, sebab liriknya ada sedikit kejam dan menyentuh aspek berkaitan bekas kekasih," katanya.

BAKAL LANCAR EP TAHUN DEPAN

Sokongan berterusan terhadapnya sejak awal terbabit program realiti termasuk Big Stage 2022, sehingga kini juga jadi pemangkin penting untuk Aisha melancarkan EP yang ditunggu-tunggu ramai.

Menurutnya, dia dan syarikat rakaman dalam proses menyiapkan EP istimewa itu yang dijangka dilancarkan tahun depan. Semestinya dia cukup teruja apalagi momen itu bakal dikongsinya bersama dengan setiap yang menyokong kariernya.

"Buat yang bertanya-tanya bila nak keluarkan album, ini jawapannya. Saya akan lancarkan EP yang memuatkan semua lagu Melayu termasuk karya pernah dilancarkan sebelum ini.

"Semestinya saya tahu ini tanggungjawab yang cukup besar. Tapi, saya berjanji akan sajikan corak karya yang memuaskan dalam EP itu kelak, insya-Allah," katanya.

Dengan pelancaran EP itu juga, Aisha yakin dan merancang mengadakan 'showcase' solonya kelak. Ini kerana, sekurang-kurangnya dia ada cukup lagu untuk berbuat demikian tanpa perlu bergantung menyanyi lagu orang lain.

"Saya merancang adakan 'showcase' ini bukan setakat di Kuala Lumpur, tapi menjelajah ke seluruh Malaysia. Mungkin termasuk Sabah juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 6:00 AM