PINK Sweat$ mahu penampilannya tinggalkan impak kepada orang ramai.
PINK Sweat$ mahu penampilannya tinggalkan impak kepada orang ramai.
Georgie Joseph


SEMAKIN meledak dalam pasaran muzik Amerika Syarikat (AS), nama Pink Sweat$ juga kian menakluk dunia.

Lagu hitnya berjudul At My Worst kini rancak didengar dan distrim menerusi pelbagai platform muzik.

Pink Sweat$ atau nama sebenarnya David Bowden, 28, turut disebut-sebut antara artis bakal bersinar dalam masa terdekat.

Bukan sekadar muzik, karakter serta personalitinya begitu menonjol sekali gus menjadi kelebihan buatnya.

Paling menarik perhatian, semestinya penampilan wajib mengenakan pakaian merah jambu seiring nama komersialnya. Penjenamaan itu tampak berani dan ibarat satu penegasan.

Ditemu bual RAP baru-baru ini, Pink berkata misi utamanya memang tidak lain untuk menangkap pantas mata orang ramai.

Baginya, amat penting untuk tinggalkan impak supaya dirinya kekal dikenang sepanjang masa.

"Apabila mengenakan pakaian yang menyerlah, ia membuktikan bahawa kita tidak takut langsung untuk dilihat orang. Semakin meningkat usia, saya semakin mahu perhatian itu.

"Saya mahu seluruh dunia mengenangnya suatu hari nanti, mengenai kewujudan saya. Disebabkan itulah, saya memilih warna merah jambu terang untuk memastikan orang sentiasa mengingati saya," katanya.

Perihal muzik sememangnya sangat dekat dengan jiwa Pink. Sejak kanak-kanak, dia sudah didedahkan dengan aktiviti nyanyian terutama di gereja. Bahkan, seluruh keluarganya juga penyanyi yang baik.

MASIH bermimpi dirinya semakin dikenali.
MASIH bermimpi dirinya semakin dikenali.

Mengakui nyanyiannya paling teruk dalam keluarga, dia bersyukur rezeki masih berpihak kepadanya untuk mengecap impian sebagai artis.

Bahkan, dia tidak berdepan kesukaran memilih hala tuju muzik diinginkan.

"Tujuan saya bikin muzik adalah untuk berbuat kebaikan dan membawa perubahan. Saya mahu hasilkan karya berkisar cinta dan hubungan sesama manusia.

"Pada pengakhirannya, muzik adalah saluran untuk kita sampaikan sesuatu yang penting. Paling senang adalah menulis lagu yang sememangnya luhur dari hati dan pengalaman sendiri.

"Saya tidak mahu muzik saya jadi terlalu ringkas. Saya mahu artis lain juga akan turut memperkatakan mengenai karya saya," katanya.

Dengan lambakan pendatang baharu sekarang, Pink juga tiada kerisauan langsung apabila menyentuh mengenai persaingan. Hakikatnya, dia yakin dengan apa yang mampu disajikan buat pendengar.

Justeru, dia tidak melihat dirinya akan terhenti sekadar bintang semusim saja. Menurutnya, selagi dia hasilkan muzik yang bagus, selagi itu pasti peminat masih terus mendengar karyanya.

"Ia bagai satu rahmat buat saya, mampu menulis lagu. Saya tulis lagu pun bukan tujuan semata-mata mahukan sesuatu yang besar. Ia memang sentiasa ada dalam diri saya.

"Sebagai insan yang membesar dengan nyanyian di gereja, saya belajar untuk tidak terlalu memikirkan nasib muzik saya. Cukup memadai dan bersyukur apabila ada yang sebenarnya menghargai muzik itu," katanya.

Sekali gus, kenyataan dibuat itu mengiyakan perasaannya yang masih bermimpi apabila mencapai tahap sekarang. Hakikatnya, setiap hari dia akan mencubit dirinya untuk memastikan hal itu benar.

"Saya sangat rendah hati, teruja dan bersyukur dengan pencapaian sekarang. Setiap hari, saya bangun dan bertanya kepada Tuhan sama ada saya bermimpi atau tidak.

"Saya memang tidak pernah menyangka akan dikenali sehingga ke tahap ini. Bagaimanapun, perasaan itu membuatkan diri saya mahu terus melangkah lebih jauh lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:19 AM