GREGORIA cuba tamatkan kemarau pingat Piala Uber Indonesia. FOTO Bernama
GREGORIA cuba tamatkan kemarau pingat Piala Uber Indonesia. FOTO Bernama
BERNAMA

Chengdu: Pemain perseorangan wanita utama Indonesia Gregoria Mariska Tunjung memasang impian untuk membantu pasukan bekas juara tiga kali itu kembali merangkul pingat pada saingan Piala Uber 2024 di Chengdu, China.

Walaupun di atas kertas peluang tampak sukar bagi Indonesia meraih kedudukan podium di sini, namun Gregoria sebaliknya optimis bahawa pemain sedia ada termasuk beregu meningkat naik Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto berupaya menamatkan kemarau 14 tahun selepas kali terakhir meraih pingat menerusi gangsa pada edisi 2010 di Kuala Lumpur.

"Kami juga akan cuba all out untuk mengejutkan juara enam kali Jepun yang sememangnya memiliki barisan kuat baik dari segi perseorangan dan beregu mereka dalam Kumpulan C," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pemain ranking kesembilan dunia itu berkata demikian selepas menyumbang mata sulung buat Indonesia dengan menumpaskan Yeung Sum Yee 21-15, 21-11 dalam aksi pertama Kumpulan C menentang Hong Kong di Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu di sini, hari ini.

Indonesia akan bertemu Uganda dalam perlawanan kedua Isnin ini dan menutup saingan Kumpulan C menentang Jepun, Rabu ini.

Terdahulu, Jepun membuka kempen dengan menewaskan Uganda 5-0.

Dalam pada itu, Gregoria berazam memperbaiki prestasinya pada perlawanan seterusnya selepas kurang berpuas hati dengan persembahan hari ini sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah sekali gus memberi mata percuma kepada lawannya.

Saingan Piala Uber 2024 yang bermula hari ini akan berakhir 5 Mei ini.

Selain mengimpikan pingat Piala Uber, pemain berusia 24 tahun itu berazam membuat kejutan pada penampilan kedua Sukan Olimpik Paris 2024 dengan membutirkan kilauan pingat buat negaranya.

"Pastinya sasaran utama di Sukan Olimpik 2024, namun saya harus fokus terlebih dahulu beberapa kejohanan mendatang bagi mendapatkan momentum sebelum bermain di Paris," katanya.

Pada penampilan sulung di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Gregoria tersingkir peringkat suku akhir di tangan juara dunia 2013 dari Thailand, Ratchanok Intanon, 12-21, 19-21.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 7:41 PM