BERAZAM terus kukuh kerjaya seni di Malaysia.
BERAZAM terus kukuh kerjaya seni di Malaysia.
Georgie Joseph


ENGGAN 'memerap' karya Inggeris ciptaan sendiri, penyanyi Aisha Retno tidak sangka lagunya berjudul W.H.U.T meledak di TikTok selain meraih penstriman lebih tujuh juta di Spotify.

Aisha, 21, menyifatkan kejayaan terpencil itu satu rezeki besar buatnya. Tatkala masih merangkak membina namanya dalam industri muzik arus perdana, lagu itu sebaliknya memperkenalkan lagi namanya sehingga ke Indonesia.

Penyanyi kacukan Malaysia-Indonesia ini berkata, lagu W.H.U.T sebenarnya sekadar lagu sampingan. Dia cuma menulis lagu itu suka-suka pada Februari tahun lalu.

"Draf lagu itu saya tulis sudah lama dan awalnya cuma perdengarkan secara suka-suka kepada pengikut di TikTok. Tak sangka pula ia 'trending' dan mendapat lebih satu juta tontonan dalam tempoh lima hari.

"Kemudian Sony Music Malaysia memutuskan untuk melancarkannya secara rasmi pada hujung tahun lalu. Ramai sukakannya termasuk peminat dari Indonesia.

"Memang terkejut kerana W.H.U.T sebenarnya dicipta sebagai lagu 'filler' saja. Paling menggembirakan apabila lagu itu memasuki carta hebat buat kesekian kalinya baik di Malaysia atau Indonesia," katanya.

Sebagai penyanyi meningkat naik, Aisha menyifatkan rezeki itu satu petanda bahawa perjuangan seninya memang cerah. Dia sendiri akui mengidam untuk karyanya terus dikenali, sekali gus namanya jadi perhatian.

Menurutnya, pencapaian lagu itu merealisasikan banyak impiannya satu demi satu. Selain diiktiraf dalam industri muzik tempatan, dia teruja namanya kian berkembang di negara seberang.

"Buat pertama kalinya juga lagu W.H.U.T memasuki Carta RIM. Memang rasa sangat seronok maklumlah lagu bahasa Melayu saya sebelum ini tidak mampu meraih pencapaian itu.

"Tidak ketinggalan, ia terus mendapat penstriman tinggi di Indonesia dan tersenarai dalam Carta Top 50 Playlist Spotify di sana. Memang syukur sangat-sangat," katanya.

Sudah selangkah meraih populariti di Indonesia, Aisha bagaimanapun mahu terus kekal fokus terhadap kerjayanya di Malaysia.

Walaupun berdarah Indonesia, dia belum terfikir kembangkan kerjayanya ke sana.

Baginya, dia melihat prospek karier seni di sini lebih menjadi keutamaan buat masa sekarang. Dia ingin mengukuhkan namanya bukan saja sebagai penyanyi, tetapi juga komposer disegani dalam industri muzik tempatan.

AISHA tidak sangka lagu W.H.U.T meledak di Indonesia.
AISHA tidak sangka lagu W.H.U.T meledak di Indonesia.

"Memang terfikir juga alangkah seronoknya kalau dapat kembangkan karier dan bertapak di Indonesia. Bagaimanapun, saya memilih untuk cipta legasi di sini dulu dan percaya perjalanan karier saya semakin meyakinkan sekarang.

"Saya gembira apabila diberikan peluang untuk mencipta lagu buat artis lain juga. Walaupun utamakan penulisan lagu sendiri buat masa sekarang, saya sentiasa terbuka dengan permintaan daripada penyanyi lain yang nak saya tulis untuk mereka," katanya.

Dalam pada itu, Aisha kini tidak sabar untuk melancarkan lagu baharu pula yang dijadualkan keluar pada Mac depan. Menariknya, dia bekerjasama dengan komposer tersohor Sharon Paul untuk lagu itu.

"Satu penghormatan buat saya apabila dapat peluang bekerja dengan Sharon. Biarpun lagu itu saya tulis sendiri, saya serahkan kepadanya untuk rombak mana yang patut kerana dia lebih arif," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aisha juga bakal berentap dengan 10 penyanyi muda lain dalam program Big Stage 2022 bermula 6 Februari depan.

Menurutnya, dia yakin platform itu bakal memperkenal lagi bakatnya kepada satu Malaysia.

"Sekarang saya akan berikan tumpuan sepenuhnya kepada program itu. Memang teruja apabila bertanding sebaris dengan ramai penyanyi hebat lain, namun pastinya akan tunjukkan persembahan terbaik kelak," katanya.

Selain Aisha, turut bertanding di Big Stage 2022 ialah Megat Rahim, Elica Paujin, Ajoi Zainal, Lia Aziz, Daniel Chuer, Yazmin Aziz, Tuah Adzmi, Sofiaa Marieylla, Syafiq Abdilah dan Tegar Septian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:21 AM