KEDUANYA berpanji kepada penghasilan karya yang sentiasa ke depan. Foto Aziah Azmee
KEDUANYA berpanji kepada penghasilan karya yang sentiasa ke depan. Foto Aziah Azmee
Georgie Joseph


KEAKRABAN dua penyanyi muda Aisha Retno dan Aziz Harun kini 'mempedaya' ramai sama ada mereka sedang diulit bibit-bibit cinta. Apalagi, mereka pun melancarkan lagu duet bersama berjudul Jarak baru-baru ini.

Bagaimanapun, hubungan platonik antara mereka tidak lebih daripada berkongsi frekuensi cinta terhadap muzik yang sama kala ini. Keduanya penyanyi, penulis lagu, pemuzik yang serba berbakat dan geliga dalam berkarya.

Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, sendiri menyanjung tinggi tahap karier Aziz yang jauh lebih senior. Hakikatnya, dia sudah mengidam lama ingin bekerjasama dengannya, yakni sebelum menyertai Big Stage 2022 lagi pun.

"Saya baru lebih tiga tahun manakala Aziz sudah lebih sembilan tahun bertapak dalam industri. Banyak yang saya belajar daripadanya dalam kerjasama itu termasuk berkongsi idea, pendapat mengenai industri, serta pengalaman.

Saya memang sangat minat dia, semangatnya, betapa tinggi kesungguhannya dalam bidang muzik tempatan. Dia pun bukan calang-calang dan banyak meraih pencapaian sepanjang kariernya.

"Kami pun saling mengidolakan sesama sendiri. Itulah sebab sangat mudah bekerja dengannya kerana mungkin frekuensi kami dalam muzik lebih kurang serupa," katanya menyingkap penghasilan lagu Jarak mereka.

Menurut Aisha, dia tidak terus terfikir Aziz pun sewaktu hasilkan lagu itu. Caranya kalau buat lagu, dia akan hantar dan minta pandangan beberapa rakan penyanyi terdekat terlebih dulu. Sambil itu bertanya sudi tak mereka bekerjasama dan Aziz menyahut pantas.

"Itulah cara saya minta tunjuk ajar dengan berkongsi demi kepada mereka. Aziz antara satu daripadanya dan dia yang paling pantas beri respon. Dia kata dia sangat sukakan lagu itu dan terus setuju nak buat.

"Saya pula yang tak percaya kerana tahu dia sangat sibuk dengan jadual seninya. Tapi apabila dia betul-betul nyatakan kesungguhannya, nukil bersama, kemudian kami pun terus masuk bersama.

"Setiap kali berbincang mengenai muzik, kami sentiasa satu frekuensi," katanya.

Aisha juga bukan semberono berkongsi karyanya kepada siapa-siapa. Katanya, amat penting untuk dia dahulukan penyanyi terdekatnya kerana berhasrat memacu kerjaya ke puncak seiring mereka.

"Rata-rata saya hantar kepada penyanyi yang akrab dengan saya. Bukanlah sesuka hati hantar kepada penyanyi yang bukan kenalan rapat. Kalau boleh saya nak bantu sesama rakan terdekat begitu," katanya.

Menyentuh pencapaian terbarunya singgah ke Indonesia untuk menyapa peminatnya, Aisha akui dia memang sudah lama pasang niat promosi lagu W.H.U.T di sana. Bahkan sebelum menyertai Big Stage 2022 pun kerana lagu itu sudah tular luar biasa di sana.

"Apabila berkunjung di sana, alhamdulillah datang pula beberapa rezeki lain. Saya dapat undangan membuat persembahan di RCTI, stesen TV lain, dan sebenarnya semua tawaran itu pun datang pada saat-saat akhir.

"Tentunya saya sangat gembira kerana peminat dan rakyat di sana menerima saya sebagai penyanyi luar. Mereka juga sangat berminat dan menyokong muzik saya walaupun sangat baharu lagi.

"Saya dapat belajar lebih banyak ilmu muzik untuk disuntik dalam karya akan datang saya," katanya.

Tahun lalu dan tahun ini saja pun, Aisha juga tampak sangat laku dipanggil berpanggung pada acara hebat. Termasuklah menjadi artis pembukaan konsert penyanyi ternama Indonesia, Mahalini, Budi Doremi, dan Nidji.

"Itu adalah rezeki yang sangat penting dan berguna untuk profil seni. Sampai sekarang, saya pun masih menapak untuk bagi lagi orang kenal saya. Selain itu, ia memperkemas lagi corak persembahan saya atas pentas," katanya.

JARAK adalah karya sulung duet Aziz dan Aisha. Foto Aziah Azmee
JARAK adalah karya sulung duet Aziz dan Aisha. Foto Aziah Azmee

Aziz idam kembali bersinar semula

Bagi Aziz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Harun, 25, misi utamanya sekarang tidak lain meraih semula perhatian ramai terhadap kewujudannya. Baginya, momentum kerjaya yang malap beberapa tahun perlu dikembalikan.

Justeru, dia lancarkan album berjudul Yang Benar, Aziz Harun turut muatkan lagu Jarak bersama Aisha dalam album itu. Katanya dia sekarang ingin fokus untuk album itu, rancang adakah showcase selepas Aidilfitri.

"Saya nak naikkan balik nama dan aktif semula dan tampilkan semua lagu baharu. Saya memang cuba perkara baharu. Album kan selalunya ada konsep kan. Tapi saya pelbagaikan genre dalam album itu.

"Lagu pertama pun sudah berentak rock alternatif yang memang saya pun tak pernah buat. Lagu dengan Aisha pula lebih kepada elemen Indonesia akustik.

"Saya rasa momentum itu yang hilang. Dengan keluar daripada Big Stage, pandemik, saya pun syok sendiri jalani pengajian, tak keluar berita, saya tak layan sangat media sosial, itu yang buat momentum menurun," katanya.

Penyanyi kelahiran Brunei itu menyifatkan apa yang menimpa kariernya adalah sebuah hikmah sebenarnya. Terutama membabitkan perspektifnya sebagai pemuzik yang jelas berlaku anjakan selepas 'hilang' dari radar seketika.

"Tapi saya rasa bagus juga kerana hal itu segarkan semula diri saya berbanding yang sebelumnya. Saya sudah kian matang dan terasa macam artis baharu lahir pun ada," katanya.

Dalam pada itu, Aziz cukup bersyukur projek bersama Aisha untuk Jarak sebenarnya menjadi bukti kukuh frekuensi mereka sesama pengkarya adalah sama.

Cinta mereka terhadap muzik melangkaui hakikat untuk sekadar berkarya suka-suka.

Dengan sambutan memberangsangkan ramai peminat sejak dilancarkan, dia yakin Jarak terlahir daripada hala tuju yang cukup jelas. Tidak perlu berlebihan, tapi lebih kepada mencari titik sempurna warna nyanyian mereka.

"Sebelum ini, ada duet dengan Elizabeth Tan dan Hannah Delisha. Mereka memang penyanyi tapi kebanyakannya berlakon juga. Jadi, ia tak memfokuskan terhadap muzik sangat.

"Tapi dengan Jarak, memang fokus utama muzik dan peminat tahu saya adalah penyanyi, pemuzik. Demikian juga Aisha seorang penyanyi dan pemuzik yang hebat sekali gus harapan terhadap kami lebih tinggi.

"Alhamdulillah, saya percaya kami sampaikan dengan baik juga sebuah karya yang diterbitkan tanpa berlebihan. Kesimpulannya, ia pertembungan dua pemuzik yang menjadi komunikasinya serta kerjasama padu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 7:00 AM