AISHA mahu lagu Pencarianku ke pentas anugerah besar.
AISHA mahu lagu Pencarianku ke pentas anugerah besar.
Georgie Joseph


TAKRIFAN cinta agung pasti berbeza untuk setiap orang. Curahan atau pengalaman cinta datang dari pelbagai sudut.

Hakikatnya, cinta pertama juga bermula dari rumah atau ibu bapa sejak kita dilahirkan, sekali gus membekas kukuh dalam hati.

Ilham itu juga yang menjadi tunjang utama penghasilan lagu baharu Aisha Retno berjudul Pencarianku. Lahir dari keluarga yang cukup dilimpahi berkat dan kasih sayang, Aisha menyifatkan dirinya cukup bertuah.

Mana tidaknya, dia sendiri melihat betapa agungnya cinta antara ibu dan bapanya walaupun sudah puluhan tahun hidup bersama.

Tiada sehari pun dalam kehidupan mereka tidak ditumpahi kasih sayang dan belaian.

"Sebagai anak, saya melihat cinta dan kasih sayang yang dipaparkan ibu bapa terlalu agung. Saya cukup kagum dan menjadikan corak percintaan mereka pedoman untuk mencari cinta buat diri sendiri pada masa hadapan.

"Saya tahu masih terlalu awal dan saya pun muda lagi untuk mengharapkan dapat bertemu cinta agung seperti mereka. Tetapi, saya percaya hal itu tidak mustahil dan mampu melihat curahan kasih sayang begitu ditumpahkan kepada saya sebagaimana dilakukan mereka.

"Dari kisah mereka juga yang menjadi ilham utama untuk menghasilkan Pencarianku. Secara keseluruhan, lagu ini berkisar mengenai diri saya masih dalam misi mencari cinta yang paling sejati menyamai kisah ibu bapa saya," katanya.

Bekerjasama dengan komposer Sharon Paul, Aisha cukup gembira dapat tunjuk ajar daripada figura yang cukup profilik dalam industri muzik tempatan itu.

Baginya, tiada lain yang disyukurinya selain berkongsi ilmu dengan Sharon.

Apalagi, dia yang sudah berjinak-jinak dengan penulisan lagu sejak beberapa tahun ini, Aisha pastinya masih perlukan pendapat daripada yang lebih berpengalaman.

SEMAKIN rancak tulis lirik sendiri.
SEMAKIN rancak tulis lirik sendiri.

Menurutnya, bekerja dengan Sharon memberinya kepuasan tersendiri.

"Ketika saya hantar rakaman asal lagu ini kepadanya, saya memberikan kepercayaan penuh untuk Sharon ubah mana yang patut. Saya percaya dengan sentuhan magisnya untuk semarakkan lagu aura lagu itu.

"Bagaimanapun, tidak banyak yang beliau ubah sebenarnya. Dia cukup profesional dan menghormati kehendak asal lagu itu menyebabkan saya tersentuh kerana dia terbuka dengan corak karya saya.

"Apa pun, bekerja dengannya secara keseluruhan membuatkan semangat saya jadi lebih berkobar-kobar. Sikap cukup profesionalnya terserlah dan menjadikan proses itu jadi lebih santai, namun teliti pada masa sama," katanya.

Masih mengekalkan genre balada untuk lagu baharunya, Aisha berkata, saat ini dia memang mahu dikenali kukuh sebagai penyanyi balada.

Baginya, genre itu memberikan titik kepuasan untuknya mencipta nama dalam bidang muzik.

"Sebenarnya saya sendiri takkan pernah puas untuk mengetengahkan lagu balada. Itu perancangan saya untuk hala tuju muzik paling tepat dengan diri. Saya mahu hasilkan karya yang mampu menjadi karya epik.

"Untuk Pencarianku ini juga adalah bukti bahawa saya membawa lagu balada ke tahap lebih megah. Saya sentiasa berharap akan ada lagu saya terutama balada yang boleh dibawa atau dipertandingkan ke pentas anugerah muzik besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 6:21 AM