INGIN terus meraih pencapaian indah dalam industri muzik.
INGIN terus meraih pencapaian indah dalam industri muzik.
Georgie Joseph

Lebih tiga dekad membina legasi dalam industri muzik tempatan, perjalanan karier seni Anuar Zain cukup berwarna-warni.

Kebanyakannya indah dan namanya terus kukuh menjadi antara penyanyi paling disanjung sehingga kini.

Sebut saja apa saja pencapaian, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 51, sudah merasainya.

Anugerah, konsert mega, pengiktirafan dan macam-macam lagi, sudah dimilikinya.

Namun, perjuangannya belum terhenti dan kini meneruskan kerancakan dengan melancarkan lagu berjudul Sendiri baru-baru ini.

Menurutnya, dia kembali bukan untuk bermegah, sebaliknya dengan visi tersendiri.

Visi itu tidak lain adalah mahu meraih kepuasan sebagai anak seni sejati.

Anuar mahu tersenyum melihat pengalaman indah tertulis dalam kamus kerjayanya apabila kembali membeleknya suatu hari nanti.

"Saya mempunyai visi terhadap apa yang saya lakukan. Saya mahu kerjaya saya berterusan selagi mana yang saya inginkan dengan keizinan-Nya. Saya mahu terus menghiburkan penggemar muzik tanah air untuk rezeki saya dan kepuasan diri dalam pekerjaan saya.

"Saya inginkan pada kemudian hari, apabila saya toleh ke belakang segala apa yang saya lalui itu mendewasakan saya. Ia sekali gus memberikan kepuasan, reda dan bersyukur atas kurniaan-Nya," katanya.

Semestinya didambakan peminat, Anuar kini tampil mengubat kerinduan dengan single baharu berjudul Sendiri.

Bekerjasama dengan komposer berbakat besar, Farouk Roman dan penyanyi meningkat naik, Aisha Retno selaku penulis lirik, magis jelas tercipta dalam Sendiri.

Gabungan nama senior dan generasi baharu itu tidak dinafikan menjadi kelebihan untuk karya ini. Paduan perspektif berbeza mereka tentu sekali melayangkan lagu ini ke tahap lebih tinggi.

Apapun, mengenali Anuar yang begitu teliti mengenai kualiti sesebuah karya, pastinya ada pesona Sendiri berjaya memikatnya.

Lebih menarik, sifat keterbukaannya untuk setuju menyanyikan lagu pemuzik generasi baharu turut mencuri perhatian.

"Kekuatan lagu ini adalah pada melodi dan liriknya yang ringkas serta mudah berhubung kait. Secara keseluruhannya lagu ini sangat baik dan bahagian yang paling saya suka adalah pra korusnya. Selepas mendengarnya sekali, saya sungguh tertarik dengan lagu ini.

"Kali kedua mendengarnya pula, melodi dan liriknya terus melekat di hati saya. Lagu Sendiri adalah amat tepat dengan jiwa saya. Karya Farouk dan Aisha datang dari dalam sanubari mereka dan inginkan sesuatu yang berkualiti.

"Sekali gus dapat memberikan halwa telinga yang baik buat penggemar muzik tanahair. Mereka adalah pengkarya muzik yang sangat cemerlang, ikhlas dan teliti dalam penghasilan lagu," katanya.

Lama tidak ke studio rakaman, pastinya menarik untuk mendengar pengalaman Anuar terbabit dalam penghasilan Sendiri.

Sudah pasti, kerinduan yang bersarang di hatinya terubat kini, namun bagaimana pula berkongsi ruang dengan pengkarya muzik baharu terbabit?

Ternyata Anuar menikmati keseluruhan sesi dengan begitu seronok dan teruja. Paling menyeronokkan baginya adalah atmosfera bekerja yang sememangnya begitu menyenangkan dan tiada tekanan.

"Sesi rakaman berjalan dengan santai dan sangat menyeronokkan. Kami bekerjasama dalam keadaan yang harmoni. Kami bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana lagu ini harus disampaikan sebaiknya produser vokal, Afif Tirmizie, Farouk Roman dan Aisha Retno.

Masing- masing begitu prihatin bagaimana lagu Sendiri harus disampaikan sebaiknya. Berpeluang mengenali hati budi masing-masing sewaktu rehat, tanpa disedari, kami sudah berborak selama lebih tiga jam.

ANUAR Zain tampil dengan lagu baharu berjudul Sendiri.
ANUAR Zain tampil dengan lagu baharu berjudul Sendiri.

"Banyak perkara dan pengalaman yang dikongsikan antara kami. Mengenai muzik, kehidupan, harapan, dan bermacam topik lain. Proses rakaman ini sangat menyeronokkan dan saya teruja dengan setiap saat kami luangkan," katanya.

Versatiliti nyanyian Anuar semestinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Gemersik suaranya menyanyi balada, tenaga suaranya cukup elastik untuk lagu rancak, pendek kata semua mampu disapunya dengan mudah. Untuk Sendiri, Anuar berkata, dia cuma harapkan ia mampu melonjakkan kegembiraan dalam diri pendengar.

"Saya harapkan penggemar muzik tanah air menikmati buah tangan daripada kami ini. Kali ini, saya pertaruhkan lagu berentak sederhana rancak. Semoga mereka boleh menikmati karya terbaru ini dengan perasaan yang gembira, menikmati setiap bahagiannya, serta mampu kaitkannya dengan kehidupan mereka.

"Semestinya saya mengharapkan karya ini akan beroleh kejayaan serta dapat membawa industri muzik kita tahap yang lebih tinggi. Jutaan tahniah buat Farouk Roman, Aisha Retno, Bajai (penggubah muzik), Afif Tirmizie (produser vokal), Fadly (jurutera bunyi) dan Sony Music Malaysia atas kerjasama yang sangat baik," katanya.

Nasihat buat bakat baharu

Kebelakangan ini, isu mengenai bakat baharu kurang kualiti serta memiliki masalah sikap semakin menjadi perdebatan. Beberapa artis senior turut mengutarakan pendapat masing-masing berhubung perkara itu.

Sebagai artis senior, Anuar mempunyai pendapat sendiri. Baginya, bakat baharu perlu memiliki nilai diri yang terpuji sekiranya mahu terus berjaya dan mengalu-alukan kehadiran mereka.

"Bagi saya, itu perkara biasa (masalah sikap). Mungkin ramai bakat-bakat baharu tidak mempunyai maklumat mengenai dunia hiburan tanah air dan belum melalui kehidupan sebenar sebagai seseorang yang dikenali.

"Saya percaya, ramai mungkin tercari-cari bagaimana cara sesuai untuk mengemudi diri mereka dalam menghadapi pelbagai situasi. Sama ada positif atau negatif, bagaimana berdepan dengan media dan peminat mereka.

"Buat bakat-bakat baharu, saya ingin ucapkan selamat datang dan tahniah atas pencapaian anda setakat ini. Yang saya boleh kongsikan jika ianya relevan buat mereka adalah kita harus sentiasa berfikiran positif dan terbuka terhadap sesuatu perkara," katanya.

Anuar juga menekankan bahawa keikhlasan dalam berkarya atau bekerja itu sangat penting. Sebagai artis, tugas mereka bukan sekadar hiburkan peminat dengan bakat semata-mata sahaja.

"Kita harus membahagiakan orang lain dengan sikap terpuji, kesungguhan tinggi dan corak kerja berkualiti. Begitu juga etika bekerja yang profesional tanpa menyusahkan orang lain harus kita praktikkan untuk mencapai keharmonian bersama.

"Saya percaya bahawa dengan pengalaman yang dilalui dan mungkin sedikit panduan daripada artis senior, bakat-bakat baharu akan lebih cemerlang. Walaupun sudah berada lama dalam industri, kita harus terus menyokong dan memberi galakan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 6:00 AM