HANNAH (kiri) KBS akan mampu merangsang pertumbuhan sukan di negara ini dengan lebih baik. FOTO MOHD ADAM ARININ
HANNAH (kiri) KBS akan mampu merangsang pertumbuhan sukan di negara ini dengan lebih baik. FOTO MOHD ADAM ARININ
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kertas kabinet berkenaan usaha mewujudkan sektor industri sukan dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, kertas kabinet bagi mewujudkan sektor di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu penting, bagi memperluas skop industri sukan di negara ini dan tidak hanya tertumpu kepada latihan atau atlet semata-mata.

Beliau berkata skop itu termasuk perubatan sukan, suplemen, insurans, pengusaha gim dan fasiliti sukan, penganjuran aktiviti sukan serta persidangan serta pelbagai lagi aktiviti membabitkan sukan, yang berpotensi menambah pendapatan negara.

"Penting lihat industri berada di sekitar sukan itu sendiri dan lihat cara bagaimana kita dapat bersama (bawah kementerian ini). Kita wujudkan sektor industri sukan itu dan bekerjasama dengan DOSM (Jabatan Perangkaan) bagi kumpul data-data berkaitan bagi melangkah ke hadapan.

"Kita bekerjasama dengan DOSM sebelum ini, tetapi data ialah mengenai nilai jualan menerusi sukan, bila ada penganjuran sukan kita lihat berapa dibelanjakan tetapi kita mahu (skop) lebih daripada itu, jadi sektor industri sukan diharap capai hasrat kita ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Kongres Persekutuan Perubatan Sukan Asia Ke-18 dan Persidangan Perubatan Sukan dan Sains Sukan Institut Sukan Negara Kelapan yang disempurnakan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hannah berkata, dengan data yang lebih menyeluruh membabitkan sektor industri sukan nanti, pihaknya akan mampu merangsang pertumbuhan sukan di negara ini dengan lebih baik, antaranya dengan membawa lebih banyak dana dan pelaburan dalam industri itu

"Dengan langkah ini juga, Kementerian Belia dan Sukan juga tidak akan dilihat lagi sebagai sebuah kementerian kecil yang menjaga belia dan sukan sahaja. Ada sebuah industri di situ yang kita boleh teroka dan memberikan manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, penubuhan sektor industri sukan itu juga diharap dapat membolehkan kerajaan menyalurkan dana yang lebih khusus untuk kementerian itu, antaranya bidang perubatan sukan dan sains sukan, yang mana sekarang lebih banyak diberikan kepada Kementerian Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 7:55 PM