CONAN Gray tetap percaya karya jujur adalah yang terbaik.
CONAN Gray tetap percaya karya jujur adalah yang terbaik.
Georgie Joseph


CORAK karya yang ditampilkan penyanyi muda, Conan Gray tidak dinafikan begitu telus dan jujur dari hati. Segala liriknya umpama bercerita secara terperinci setiap butiran kejadian yang berlaku dan dialaminya.

Gray atau nama sebenarnya Conan Lee Gray, 22, jelas menjadikan pengalaman hidup sebagai senjata untuk menjadikan karyanya lebih berkesan. Ia termasuk berkongsi rahsia gelap yang mana bukan semua mampu berbuat demikian.

Bagaimanapun, penyanyi kacukan Amerika-Jepun ini mengakui sekarang dia berdepan keraguan tatkala mahu salurkan kisah dirinya dalam lagu. Apalagi, kini dia sudah cukup berpengaruh besar di seluruh dunia.

"Secara jujurnya, sekarang jauh lagi susah dan kini rasa sedikit segan kerana ramai yang memberi tumpuan. Kadang-kadang, saya enggan berkongsi sesetengah perkara secara terus-terang.

"Ada masanya saya tidak ingin luahkan perasaan dan mengaku perbuatan saya contohnya membuang seseorang dalam hidup. Saya tidak tergamak untuk kongsikan depan jutaan orang tapi saya rasa sangat penting untuk berlaku jujur," katanya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Heather itu sentiasa berpegang kepada prinsip karya harus dicipta luhur dari hati. Dia juga tidak ingin karya kedengaran 'syok sendiri' dan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada rakannya.

"Orang tidak akan faham dan kaitkan perasaan mereka sekiranya kita tidak jujur. Bagaimanapun, pada pengakhirannya saya tetap akan buang perasaan itu dan saya selalunya hantar lagu saya kepada rakan-rakan untuk dengar terlebih dulu.

"Mereka yang akan maklumkan kepada saya sekiranya ada tak kena mengenai lagu terbabit," katanya.

Terbaharu tampil dan rancak mempromosikan lagunya berjudul Telepath, Gray juga memutuskan untuk suntik bunyi berbeza dalam lagu terbabit. Baginya, dia perlu menyajikan kepelbagaian dalam setiap karyanya.

Menyuntik melodi 1980-an, dia sengaja jadikan bunyinya kedengaran lebih riang kerana mahukan pendengar merasai auranya dengan lebih berkesan. Tidak ketinggalan, baginya elemen mengarut yang dimasukkan juga melengkapkan lagi Telepath.

"Korusnya adalah yang paling awal saya tulis dan memang inginkan bunyi melodi 1980-an. Ini kerana, ada masanya saya rasa lagu-lagu dihasilkan kedengaran sama dan mahu setiap lagu perlu berbeza.

"Saya jenis suka melihat perspektif yang cukup besar dan tidak mahu sekadar terhad kepada sesuatu bunyi atau genre saja. Untuk Telepath, saya tidak mahu bunyinya lebih riang dan tidak terlalu serius.

"Saya dan pasukan produksi memang sengaja mahu lagu itu kedengaran agak mengarut dan dengan transisi menarik seperti perubahan nada, sinis, dan macam-macam. Ini kerana lagu itu pun seperti saya bergurau-senda dengan seseorang," katanya.

Menjadi antara penyanyi baharu yang cukup unik, ramai menyukai Gray kerana sifat individualistiknya cukup menonjol. Dia kelihatan begitu selesa dengan pendekatannya sebagai penghibur di kelas tersendiri.

Bagaimanapun, dia mengakui cukup terperinci apabila menyentuh mengenai proses kreativitinya. Bukan semua orang boleh bekerja dengannya kerana dia sendiri titikberatkan aspek keserasian.

"Secara asasnya, saya suka berseronok ketika berkarya dan tahu bagaimana bunyi yang saya inginkan dalam sesebuah lagu. Cuma, visi yang saya bayangkan tidak normal sebagaimana orang lain bayangkan.

"Mungkin ia sedikit ganjil tapi apabila menghasilkan sebuah lagu, paling penting bagi saya adalah bekerja dengan orang yang memahami saya. Individu itu kena serasi dengan cara saya kerana kalau tidak, saya tidak boleh kongsi rahsia gelap saya.

"Memang kena berseronok juga dengan mereka sewaktu dalam proses itu dan menjadi diri sendiri. Kejujuran itulah yang sebenarnya cukup penting," katanya.

MENGAKUI lagu Telepath dihasilkan dari pengalaman sebenar.
MENGAKUI lagu Telepath dihasilkan dari pengalaman sebenar.

Terharu diminati Elton John

Sebagaimana lagu terdahulu, sekali lagi Gray menyalurkan kisah peribadinya dalam Telepath. Hakikatnya, dia begitu terbuka bercerita mengenai pengalaman sendirinya mengenai kisah kemelut cinta tidak berbalas.

Menurutnya, dia sangat berharap lagu itu akan menjadi pedoman kepada pendengar untuk tidak mensia-siakan perasaan mereka terhadap seseorang yang tidak layak buat mereka. Dia akui cukup terkesan dengan situasi peribadi dialaminya itu.

"Bercakap dari pengalaman menulis mengenai seseorang dalam lagu ini, kita tidak patut ada keraguan dalam membuat keputusan atau pilihan. Kita berhak mengundur diri dan mencari orang baharu.

"Seseorang yang tiada masalah memilih untuk mencintai kita, itu lebih penting dalam menentukan kebahagiaan kita. Saya sendiri ambil masa empat tahun mengejar cinta daripada seseorang. Saya rasa diri sangat dungu dan buang masa," katanya.

Bukan sekadar berjaya mengumpul jutaan peminat remaja seluruh dunia, kehadiran Gray dalam industri muzik jelas menarik perhatian orang lama. Tidak terkecuali, Elton John yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

"Rasa memang sangat tak sangka kerana dia sememangnya seorang penyanyi dan penulis lagu legenda. Dapat mendengar sendiri kata-kata positif daripadanya mengenai saya, susah juga untuk saya memprosesnya dalam fikiran.

"Ia tentunya satu penghormatan yang cukup besar dan saya pasti siapa-siapa juga akan tersentuh sekiranya dapat panggilan telefon daripadanya. Saya sangat berbesar hati menerima penghormatan sebegitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 6:00 AM