LAN Solo. FOTO arkib NSTP
LAN Solo. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Lan Solo, menolak dakwaan pembukaan cawangan kedua Solo Borneo Mart (SBM) di Galaxy Mall, Ampang bertujuan mencantas rezeki peniaga lain di situ.

Lan, 36, berkata, dia tidak tahu dan tidak pernah diberitahu mengenai kewujudan Pasar Borneo yang diadakan di tingkat bawah kompleks membeli belah berkenaan pada setiap hujung minggu.

"Macam biasa sebagai peniaga saya buat tinjauan terlebih dahulu. Rata-rata pengikut di media sosial saya minta SBM dibuka di Ampang. 

"Lokasi paling strategik dan bersesuian dari segi harga ialah di Galaxy Ampang. Itu antara sebab buka di situ. 

"Tidak menjangka ia akhirnya jadi isu pula. Namun tak semua yang bagi komen di Instagram dan Facebook menulis saya tutup periuk nasi orang. Hanya segelintir sahaja berbuat demikian," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Lan, selepas meneliti semula, dia mendapati hanya segelintir sahaja peniaga berniaga barangan yang sama dijual di kedainya dan ini membuat mereka rasa tercabar.

"Sebenarnya, kalau diikutkan barang jualan yang diniagakan mereka dan saya tak sama langsung. Barangan kedai saya 95 peratus barangan kering. 

"Mereka pula jual 100 peratus barangan basah dan sedia untuk dimakan. Memang ternyata tak sama," katanya.

Sebagai jalan penyelesaian, Lan memilih situasi menang-menang apabila menjual barangan penjaja terbabit.

"Sebenarnya dalam kedai saya pun ada barang jualan mereka juga yang saya bagi ruang secara percuma iaitu dalam 5 hingga 10 peratus.

"Di sini, memang saya berniat nak kongsi rezeki dengan mereka. Saya hanya ambil komisen hasil dari barang jualan mereka. Sewa tapak atau rak langsung tak dikenakan," katanya. 

Lan berkata, sepatutnya peniaga ini berfikiran terbuka kerana SBM akan bawa pelanggan mereka ke sini.

 "Penggemar SBM sekitar Ampang pasti akan ke sini dan komuniti situ lebih besar. Sebenarnya selepas ada beberapa kecaman dalam komen, warga-warga Borneo ini ada datang berjumpa saya di kedai untuk jernihkan keadaan.

"Malah ada juga dalam dikalangan mereka sendiri jawab kecaman itu di Instagram dan Facebook untuk betulkan keadaan.

"Mereka minta saya jangan kecil hati dengan mereka. Saya tenang sahaja berdepan situasi ini. Insya-Allah, kita sama-sama cari rezeki. Banyak yang lebih positif dengan pembukaan SBM di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:14 PM