GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kenaikan tarif baharu air dengan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu bermula Februari ini dilihat akan memberi kesan kepada peniaga kecil terutama mereka yang menjual makanan dan minuman.

Rata-rata peniaga melahirkan kerisauan dengan kenaikan tarif air berkenaan berikutan persediaan makanan dan minuman memerlukan penggunaan air bersih pada jumlah yang banyak.

Peniaga makanan, Mohd Zawawi Zakaria, 40 berkata, dia memahami kenaikan tarif air itu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan air sedia ada.

Namun katanya, pada masa isu kos bahan mentah meningkat, sekarang tarif air pula akan naik dan sudah pasti ia memberi kesan kepada peniaga.

"Peniaga terutamanya makanan dan minuman, sedikit sebanyak akan terkesan disebabkan semua yang kami kerjakan memerlukan air.

"Agak mengejutkan juga bila saya tengok bil air, tetapi apa yang boleh kami buat lagi, berniaga sumber rezeki kami.

"Mahu atau tak, perniagaan perlu diteruskan dan untuk menaikkan harga makanan dijual bagi saya belum masanya lagi.

"Kami terpaksa set di minda supaya penggunaan air digunakan pada tahap paling minimum tidak seperti dulu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selagi boleh mengekalkan harga jualan seperti sekarang, dia akan memastikan pelanggan tidak terbeban.

Bagi peniaga air dan makanan, Nor Sheila Baharudin, 33 yang turut terkesan dengan kenaikan tarif air berkata dia serba salah untuk menaikkan harga jualan.

Katanya, memang barang naik harga dan sebagai peniaga dia terpaksa membeli barang dengan harga ditetapkan untuk terus beroperasi.

"Kenaikan kos barangan memang sangat terasa, apatah lagi selepas tarif air ini meningkat sudah pasti akan menambah kos operasi peniaga.

"Nak naikkan harga jualan pula saya risau pelanggan tak mahu beli sebab mahal dan buat masa sekarang saya akan jual seperti biasa.

"Biarlah untung sikit pun tak apa, asalkan perniagaan dapat terus beroperasi dan pelanggan tak lari," katanya.

Nor Sheila berkata, dia mengharapkan supaya kerajaan mengkaji semula harga barangan terutama selepas tarif air meningkat.

Sementara itu, peniaga nasi lemak Azizah Budin, 45 berkata dia berniaga secara kecil-kecilan dan sama sekali tidak akan menaikkan harga jualan kerana baru saja berbuat demikian selepas kenaikan harga ayam, beras dan telur baru-baru ini.

Katanya, dia akan menyerap kenaikan kos barangan dan menggunakan air secara berhemah.

"Air bersih sangat penting bagi kami peniaga makanan. Saya berharap kerajaan dapat membantu golongan peniaga kecil seperti kami dari segi mendapatkan barangan (beras, telur dan ayam) pada harga rendah," katanya.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengeluarkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa 1 Februari depan.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 2:01 PM