ADAM dan kekasihnya.
ADAM dan kekasihnya.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Selepas empat tahun hidup menduda, pelakon Adam Shahz, 40, mengakui sudah menemui cinta baharu dengan seorang wanita berstatus ibu tunggal.

Adam atau nama sebenarnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani berkata, perkenalannya dengan wanita berusia 37 tahun yang mahu dikenali sebagai 'Auntie Baby' itu berlaku secara kebetulan dan mereka makin rapat sejak tahun lalu.

"Buat masa ini, saya nak rahsiakan dulu identiti sebenarnya. Namun, saya tak nafikan sering berkongsi foto kekasih dan video bersama di Instagram kerana tidak mahu terlalu berahsia mengenai hubungan kami.

"Dia bukan selebriti, tapi mempunyai perniagaan sendiri. Selama saling mengenali, saya selesa dengan sikapnya kerana dia sangat memahami, penyayang dan ada keserasian di antara kami. Apa yang diharapkan, semoga ada sampai jodoh kami naik pelamin nanti. Saya tak pernah tutup pintu hati untuk bercinta biarpun gagal dalam perkahwinan terdahulu.

"Hidup, jodoh, rezeki dan ajal adalah ketentuan Allah. Apa yang pernah berlaku dalam kehidupan rumah tangga saya yang lalu adalah pengalaman dan pengajaran," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini Adam pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Fatin Afeefa pada 2013 sebelum bercerai pada 2017.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ivy Herra Sophia yang kini berusia enam tahun.

Bercerita mengenai penerimaan anaknya, Adam berkata, Ivy sudah diperkenalkan dengan kekasihnya itu dan masing-masing dilihat boleh menerima di antara satu sama lain dengan baik.

Adam yang membintangi filem Juvana dan Juvana 2 pernah memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28 lalu.

Selain filem, dia juga aktif berlakon drama.

Bagaimanapun, tahun lalu Adam membuat keputusan memperlahankan kerjaya seni kerana memberi tumpuan kepada tugas sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu orang ramai yang terjejas berikutan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:20 PM