ADAM Shahz. FOTO Aziah Azmee
ADAM Shahz. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Adam Shahz, 42, mendedahkan hampir setiap hari dia menerima mesej di Instagram daripada wanita tidak dikenali yang mahu berkenalan dan mengajak dia berkahwin selepas mendakwa bertemu di dalam mimpi.

Adam atau nama sebenarnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani berkata, dia yang sudah lebih lima tahun menduda bagaimanapun belum terfikir berkahwin baharu kerana mahu memberi fokus kepada ibunya, Rokiah Leman, 62, yang kurang sihat di kampung.

"Saya tidaklah serik untuk berkahwin lagi, cuma sekarang mahu fokus pada keluarga dan menjaga emak yang sakit. Saya fikir ini adalah masanya untuk beri fokus kepada emak yang sebelum ini saya akui jarang dilakukan.

"Malah, setakat ini pun saya ada juga berkawan dengan wanita yang bukan dalam karier seni. Namun, untuk melangkah ke fasa hubungan yang lebih serius itu rasanya belum lagi dan saya masih perlukan masa," katanya kepada Harian Metro.

Adam ditemui pada sidang media Teater Bangsawan Dang Anum arahan Amirul Haswendy yang akan dipentaskan pada 14 dan 15 Ogos ini di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bukit Kiara Kuala Lumpur.

Menurut pelakon filem Juvana ini, dia bagaimanapun sering menerima mesej di platform media sosialnya daripada wanita yang mahu mencuba nasib berkenalan dan ada juga lebih berani apabila terus ajak bernikah.

"Selama menjadi duda dan bapa tunggal ini, saya tidak dipandang sinis oleh sesiapa, tapi orang asyik nak 'try' (cuba). Kalau tengok mesej DM yang saya terima di Instagram, memang banyak.

"Kadang-kadang rasa nak balas mesej daripada orang saya kenal di  Instagram pun tak selesa, sebab kalau saya buka nak tengok ditakuti individu-individu terbabit kirim mesej itu tahu saya sedang 'online'.

"Sudahnya saya akan pandang saja kiriman mesej diterima itu tanpa membalas pun. Antara mesej yang ditulis, ramai wanita ajak saya berkahwin tak kiralah mereka berstatus bujang dan ibu tunggal.

"Ada juga yang ajak saya nikah sebab katanya kami bertemu di dalam mimpi. Tak kurang juga, ada pengirim mesej yang menyifatkan saya dan dia boleh jadi pasangan secocok kerana pengalaman kisah hidup kami lalui sama," ujarnya. 

Adam berkata, dia juga agak terkejut apabila kebanyakan akaun media sosial wanita yang mengirim mesej itu adalah akaun individu betul dan bukan pemilik akaun palsu.

Terdahulu, Adam pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Fatin Afeefa pada 2013 dan sah bercerai pada 2017. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ivy Herra Sophia, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 10:59 AM