Adam Corrie
Adam Corrie
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Adam Corrie, 55, mengambil pendekatan mengelak dari beramah mesra dengan penerbit kerana tidak mahu dianggap cuba berbaik bagi mendapat tawaran berlakon.

Adam atau nama sebenarnya, Adam Corrie Lee Abdullah berkata, dia belajar daripada pengalaman selepas melaluinya sendiri termasuk ditolak ke sana sini seperti bola.

"Saya sebenarnya takut jumpa produser (penerbit) sebab dapat rasanya satu pandangan lain seperti kita menagih 'job' (kerja). Jadi, saya lebih suka mengelak daripada berjumpa mereka.

"Kalau jumpa pun, saya cuba berborak biasa tanpa ada kena-mengena dengan soal kerja. Saya pernah kena apabila dianggap seperti bola oleh seorang penerbit.

"Saya tiada niat apa-apapun. Ketika itu, baru habis 'shooting' (penggambaran) kita pun berkemas untuk balik dan berjumpa dengan penerbit berkenaan serta berborak. Kemudian, dia bawa saya jumpa pengarah dan cakap, kalau nak 'job' tanya dia (pengarah).

"Pengarah itu pula bawa saya jumpa seorang yang lain dan cakap kalau nak 'job' minta dengan orang itu. Saya jadi bengang sebab dibuat seperti bola dan masa itu, saya bukan minta 'job' pun," katanya kepada Harian Metro.

Adam berkata, dia juga tidak mahu meluahkan mengenai tiada 'job' atau tawaran berlakon kerana pernah terkena dengan seorang pengurus produksi yang memaklumkan kepada penerbit.

"Saya dihubungi seorang penerbit yang menawarkan berlakon untuk satu telefilem dan bayarannya RM500 sehari. Apabila saya tanya berkenaan harga yang dirasakan kurang sesuai, ia dikata itu saja bajet yang mereka ada.

"Sebenarnya, saya bukan nak bersikap terlalu 'demand' tapi saya bukan baru sebagai pelakon. Saya sudah membintangi lebih 30 filem, jadi jangan buat saya seperti itu (bayaran RM500) macam terdesak sangat nak 'job'," katanya.

Adam berkata dia tidak mahu lagi meluahkan kepada sesiapa mengenai tiada tawaran lakonan dan sebagainya. Katanya, dia sentiasa percaya pada rezeki Allah dan kalau itu adalah miliknya ia pasti akan diperoleh juga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 12:51 PM