ANTARA babak menarik dalam Elliot From Earth.
ANTARA babak menarik dalam Elliot From Earth.
Najiy Jefri

Bagi penggemar siri animasi, Cartoon Network kini muncul dengan naskhah baharu pengembaraan galaksi luar biasa dalam Elliot From Earth.

Bakal menemui penonton bermula 24 April ini di Cartoon Network (saluran Astro 615). Elliot From Earth mengisahkan mengenai makhluk asing comel dan dinosaur yang mampu hidup bersama dengan harmoni.

Siri baharu ini adalah hasil cetusan idea pasukan siri animasi The Amazing World of Gumball yang boleh distrim di saluran HBO Go.

Pengarahnya, Mic Graves berkata, ketika menyiapkan siri animasi The Amazing World of Gumball bersama Tony Hull, mereka mendapat idea baharu untuk menyiapkan naskhah terkini itu.

"Saya dan Hull sebelum ini bekerjasama untuk satu siri animasi berjudul The Amazing World of Gumball. Ketika berada dalam proses untuk menyiapkannya, kami dan beberapa orang kru berbincang mengenai idea projek baharu dan satu daripada itu adalah Elliott From Earth.

"Sejak itu, idea asal dikembangkan dan kami sangat seronok mengerjakan genre sci-fi ini bersama kru Elliot," katanya.

Hull berkata, setiap episod bakal menyuntik pelbagai detik menarik untuk tontonan seisi keluarga.

"Setiap episod baharu kami buat sangat menyeronokkan kerana dengan sci-fi, anda boleh ceritakan jenis kisah yang berbeza, bertemu watak yang meluas dan membawanya ke tempat yang hebat supaya setiap watak boleh dibawa sejauh mana imaginasi kami pergi.

"Galaksi adalah satu tempat yang besar dan kita tak sabar untuk melihat Elliott, Frankie dan Mo menerokainya," katanya.

Bagi Graves, perbezaan Elliott From Earth berbanding rancangan dan filem yang menceritakan mengenai angkasa lepas adalah keharmonian yang dipupuk dalam siri terbabit.

"Idea seorang budak lelaki di angkasa lepas adalah perkara yang tidak asing lagi, itulah sebabnya kami ingin membawa unsur menarik ke dalamnya.

"Sebagai contoh, Elliott pergi bersama ibunya dan makhluk asing peramah yang tidak mempunyai niat untuk menjajah bumi. Ceritanya lebih mengenai menjumpai diri anda dalam satu tempat baharu yang penuh dengan makhluk asing.

"Malah saya memilih memaparkan makhluk asing sebagai kawan kepada manusia dan bukan musuh kerana penerimaan bersama antara mereka adalah sangat penting buat kami.

"Idea makhluk asing menjajah atau merosakkan bumi kedengaran agak sedikit lapuk. Mengapa tidak makhluk asing jadi menarik atau kelakar atau baik dan mempunyai julat watak yang positif seperti yang terdapat di bumi juga?" katanya.

Bercerita mengenai cabaran menyiapkan siri terbabit, Graves berkata, banyak cabaran perlu ditempuhi dan bukan mudah menyiapkannya.

"Kami berdepan setiap cabaran yang ketika menghasilkan Elliott From Earth. Anda tidak akan tahu apa yang akan berlaku hinggalah anda membuatnya. Itu juga apa yang menarik mengenainya.

"Tidak kira betapa 'jauh' anda berfikir, apabila kita buat karya, keseluruhan perkara berubah. Anda perlu buang banyak elemen yang anda rasa sebenarnya boleh buat dan ganti semuanya ketika dalam proses mengerjakan animasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:40 AM