HARITH.
HARITH.
Syafil Syazwan Jefri

Satu lagi kejayaan besar buat figura bernama Harith Iskander apabila terpilih menjadi sebahagian daripada program terbaru BBC Earth.

Harith kini muncul dengan program pendidikan berkonsep komedi, Got Science? yang disiarkan di saluran BBC Earth dan aplikasi BBC Player.

“Alhamdulillah. Apabila ditawarkan mengendalikan program ini, saya terus terima memandangkan BBC nama besar dalam dunia penyiaran.

“Apabila mereka memaklumkan keyakinan saya dapat mengendalikan program Got Science? dengan baik, saya jadi lebih yakin untuk terima,” katanya.

Menurut Harith yang mendapat jolokan ‘Godfather of Stand-up Comedy’ Malaysia, dia mengolah penyampaian fakta mengenai sains dalam bentuk komedi.

“Saya diberikan skrip kerana fakta yang perlu saya tahu berdasarkan kajian dilakukan pihak produksi. Namun, mereka memberi kelonggaran kepada saya untuk menambah dan mengolah komedi untuk menarik perhatian penonton.

“Apabila BBC Earth memberitahu antara sasaran mereka ialah kanak-kanak, saya sesuaikan komedi supaya tidak keterlaluan dan ilmu itu sampai kepada golongan berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai minatnya dalam bidang sains, Harith berterus terang ia bukan subjek kegemarannya ketika di bangku sekolah.

“Saya bukanlah pelajar yang sukakan mata pelajaran Sains tetapi apabila menginjak dewasa saya dapati ia menyeronokkkan.

“Saya galakkan ibu bapa yang ada anak kecil untuk bersama-sama menonton program ini kerana banyak maklumat yang kita sendiri tak tahu dipaparkan dalam program ini,” katanya.

Got Science? ditayangkan sejak 11 September lalu sebanyak lapan episod dan dalam setiap episod, Harith menjawab lima hingga enam persoalan mengenai sains secara santai.

“Program ini disesuaikan dengan budaya kita, orang Asia. Banyak mitos yang kita dengar sewaktu zaman kanak-kanak ada penjelasan secara saintifik yang boleh kita kongsi dengan anak,” katanya.

Terbaru, Harith bersama isterinya membuka ruang acara persembahan komedi, The Joke Factory.

“Persembahan komedi berlangsung setiap malam kecuali Isnin. Alhamdulillah, walaupun baru sebulan dibuka, ramai yang mula tahu mengenai The Joke Factory dan sambutannya sangat menggalakkan.

“Saya sendiri ada membuat persembahan di situ di samping beberapa pelawak lain. Selain itu, di The Joke Factory juga diadakan ruang ‘open mic’ untuk mereka yang ingin menunjukkan bakat sebagai pelawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 2:59 PM