MILA (depan) dan Nonny ketika mengerjakan umrah.
MILA (depan) dan Nonny ketika mengerjakan umrah.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya ingat Instagram Nonny kena godam, tapi apabila Nonny cakap itu adalah dia, luluh hati saya. Rasa macam nak ke Sabah semalam juga jumpa dia dan dengar apa masalahnya. Saya tahu dia sangat baik, anak yang baik."

Itu kata penyanyi, Mila Jirin juga sahabat baik Nonny Nadirah mengenai penampilan terbaharu penyanyi dan pelakon itu yang didakwa sudah membuka tudung.

Mila berkata, dia masih berharap Nonny terus mempertahankan hidayah diberikan Allah selepas pulang dari mengerjakan umrah pada Januari 2019.

"Semalam saya menggigil lihat Instagram Nonny. Saya terus menghubunginya. Alhamdulillah, dapat bercakap dengan dia sekejap. Saya sedih kenapa saya tak boleh ada di sisinya untuk dengar semua keluh kesahnya.

"Saya mohon jangan buat perkara yang bercanggah dari perintah Allah. Nonny, jangan persiakan hidayah yang dihadiahkan oleh Allah. Saya mohon, lawan godaan syaitan. Ramai sayangkan dia. Selepas bercakap dengan dia, Heliza Helmi menghubungi saya. Kami berdua sangat sedih. Jika dia sangat sayang persahabatan ini, saya minta, saya mohon, jangan siakan hidayah yang sudah Allah hadiahkan," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram, Mila turut menitipkan nukilan buat Nonny serta video kenangan mereka ketika berada di Makkah dan Madinah.

"Non (Nonny), mu (kau) adalah seorang yang sangat baik. Bila berpeluang rapat dengan mu (sangat sangat rapat) hingga kita ke Makkah dan Madinah bersama tunaikan umrah. Mu peluk ku dan menangis waktu kita habis ibadah umrah waktu kita sama-sama atas Bukit Marwah.

"Mu peluk aku kuat kuat dan nangis sambil mu ucapkan terima kasih bawa mu ke tanah suci. Di atas Bukut Marwah tu ku cakap pada mu, Allah yang jemput mu ke sini, terima kasih pada Allah. Ku puji mu nampak cantik bertudung, ku mohon pada Allah di situ juga agar mu kekal bertudung.

"Alhamdulillah bila mu buat keputusan nak berhijrah selepas pulang dari umrah ku antara hamba Allah yang paling seronok.

"Non, ku tahu mu pasti baca hantaran ku ini. Non ingat rezeki milik Allah. usaha ikhtiar lah cara apa juga selagi mana ia halal dan mendapat keberkatan. Allah sedang uji mu wahai sahabat sebab Allah sayang, tolong kuat Non. Jangan terpedaya dengan syaitan.

"Terakhir kali, ku mohon Non dengan sepenuh hati, jangan lah mu berubah kepada kehidupan yang lagha dan penuh sia sia. Ramai yang sayang mu Non. Allah sayang mu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 10:37 AM