NONNY NADIRAH
NONNY NADIRAH
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Kita kena hormat keputusan kedua-dua belah pihak. Berpisah tak semestinya kita bergaduh dan saling memberi."

Itu kata pelakon, Nonny Nadirah, 31, menjelaskan mengenai berita pembatalan majlis perkahwinannya dengan pasangan yang juga pelakon, Niezam Zaidi seperti yang diumumkannya di Instagram, tengah malam tadi.

Nonny yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, dia dan Niezam masih lagi berkawan baik.

"Kami masih berkawan baik. Mungkin jodoh kami lebih kepada berkawan daripada menjadi pasangan. Dia baik, saya sayang dia kerana Allah dan saya nak tengok dia bahagia dunia dan akhirat. Teruskan menyokong kami dan doa yang baik-baik," katanya.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Nonny turut menitipkan sedikit nasihat buat mereka yang pernah berpisah dengan pasangan seperti yang dialaminya.

"Allah hantar semua orang yang baik-baik dengan kita. Jangan pernah salahkan bekas pasangan kita. Jangan. Kita sendiri yang perlu perbaiki diri kita untuk menjadi yang lebih baik kerana Allah.

"Dalam hidup ini, kadang-kadang kita suka, tapi Allah tak suka. Kadang-kadang kita tak suka, tapi Allah suka. Sentiasa bersangka baik dengan Allah, dengan semua orang dan dalam apa jua keadaan. Belajar untuk melepaskan. Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita," tulisnya.

Kenyataan itu turut disertakan dengan video pendek berdurasi  52 saat menggambarkan rasa syukur Nonny kerana dikurniakan dua sahabat iaitu Heliza Helmi dan Mila Jirin.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan sahabat seperti Nur Heliza Helmi dan Nursyamila Jirin. Heliza adalah cikgu saya dan Mila sebagai mentor saya. Mereka banyak berikan kata semangat supaya saya bangkit, bangun balik dan jadi seorang yang baru," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nonny mendedahkan perkahwinan yang dirancang bersama Niezam terpaksa dibatalkan. Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan punca mereka berpisah.

Sementara itu, Niezam ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.

Berita berkaitan

  • Nonny Nadirah, Niezam Zaidi tak jadi kahwin
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 5:20 PM