Mila Jirin (kanan) bersama Nonny Nadirah.
Mila Jirin (kanan) bersama Nonny Nadirah.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Tiada kata mampu diungkap penyanyi, Mila Jirin, 35, selain bersyukur apabila dapat bersemuka dengan rakan baiknya yang juga pelakon Nonny Nadirah, 33, selepas agak lama 'menghilang'.

Selepas tiga tahun, Mila akhirnya dapat bersemuka semula dengan Nonny dalam satu pertemuan, semalam.

Mila yang juga ahli perniagaan ketika dihubungi berkata, kali terakhir dia berjumpa Nonny ialah pada 2020.

"Saya ada berhubung dengan Nonny sebelum ini secara 'online' (dalam talian), tapi sekarang baru dapat bersemuka.

"Alhamdulillah Nonny sangat baik sekarang. Doakan Nonny berjaya dunia akhirat," katanya ringkas menggambarkan keadaan terkini pelakon kelahiran Sabah itu.

Terdahulu, Mila berkongsi satu hantaran video pertemuan mereka itu.

Menurutnya, dia memang sudah terlalu lama cuba menjejak Nonny dan berharap dia tak menyepi lagi.

"Masya-Allah, hari ni saya tak sangka sebab saya jumpa dengan seorang yang lama sangat saya cari. Nasib baik tak sampai depan pintu rumah mak dia saya ketuk.

"Dah nak pergi dah pun, dia tak bagi pergi. Kalau dia bagi alamat dah. Mana menghilang?," katanya.

Dalam video berkenaan, Mila juga sempat bertanya dan meminta Nonny menjelaskan di mana dia selama ini.

"Ya Allah, baru keluar dari, tak tahu lah," ringkas saja jawapan Nonny.

Nonny menyepi sejak 2021 termasuk tiada sebarang kemas kini di media sosialnya.

Nonny juga mengejutkan ramai pihak dengan beberapa hantaran mengenai penampilannya yang seakan-akan memberi bayangan sudah tidak bertudung di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 2:49 PM