Ridzuan Abdul Rahman

"SAYA menangis terharu sebab ramai insan berhati mulia sudi membantu. Tidak kurang ada juga yang mendoakan agar saya kembali sembuh," kata penyanyi Roy.

Roy, 57, atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi berkata, dia kini mendapat perhatian rapi daripada doktor dan jururawat yang menjaganya.

"Setakat ini mereka bagi antibiotik yang agak kuat untuk mematikan kuman. Doktor juga tak tetapkan masa untuk pulih memandangkan sakit saya agak serius.

"Saya pun tak pasti bila akan dibenarkan keluar kerana situasi jangkitan ini susah nak cakap," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Roy yang popular dengan lagu Ratnaku dan pernah menyertai program Gegar Vaganza musim keenam dimasukkan ke Hospital Banting, Selangor, kelmarin, akibat sesak nafas sebelum disahkan terkena jangkitan kuman pada paru-paru.

Menerusi laporan Harian Metro, dia pada mulanya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan tetapi dicadangkan agar mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital oleh doktor bertugas.

Roy yang turut menjalani ujian saringan Covid-19 juga tidak dibenarkan menerima kehadiran pelawat.

"Dalam keadaan pandemik sekarang dan kes saya kerana jangkitan kuman, saya tak boleh dilawati oleh sesiapapun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 4:09 PM