NANA, Nubhan masing-masing tak tahan nak gelak setiap kali berdialog dalam mini siri Sekali Lagi
NANA, Nubhan masing-masing tak tahan nak gelak setiap kali berdialog dalam mini siri Sekali Lagi
Sudirman Mohd Tahir

KURANG 24 jam dilancarkan di platform digital, lagu duet terbaharu Siti Nordiana dan Nubhan berjudul Sekali Lagi terus mendaki carta teratas di iTunes.

Malah, lagu ciptaan sepenuhnya Sepet dan Nana itu turut berada di kedudukan #13 iTunes Singapura dan #126 iTunes Indonesia.

Sesuatu yang membanggakan buat Siti Nordiana dan Nubhan apabila mini siri sebanyak tiga episod yang diterbitkan khas untuk lagu dan muzik video rasmi Sekali Lagi turut berada di carta 'trending' YouTube Malaysia.

Episod pertama yang ditayangkan pada 4 Janurari lalu berada di kedudukan #24 dan episod kedua pada 11 Januari lalu pula di kedudukan #50.

Sementara, episod ketiga yang dilancarkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada 18 Januari lalu juga sudah berada di kedudukan top 10 carta 'trending'.

Menurut Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, dia berterima kasih kepada semua peminat dan pencinta muzik tanah air atas sokongan yang diberikan.

"Sejujurnya saya terharu dan tidak menjangka dengan sambutan baik diterima untuk lagu ini. Sebagai penyanyi, ini yang diharapkan supaya setiap karya itu diterima baik. Saya percaya, ini adalah rezeki kami satu pasukan.

"Macam mini siri ini, sebenarnya ramai peminat nak macam konsep muzik video Angkara. Disebabkan mereka sudah lama tidak menonton lakonan saya di kaca TV, jadi mereka buat permintaan untuk muzik video terbaharu ini dibuat dalam konsep sama.

"Bagi saya ia sesuatu yang menarik, sekali gus dapat mengubat kerinduan peminat. Sekurang-kurangnya, tidak dapat tengok saya berlakon di TV, dalam muzik video pun okay. Dapat juga saya lepaskan rindu dalam lakonan," katanya.

Bagi Nubhan pula, bekerjasama dengan Nana dalam lagu itu sesuatu yang menarik walaupun antara mereka sudah lama berkawan.

KERJASAMA pertama Nana dan Nubhan dalam lagu.
KERJASAMA pertama Nana dan Nubhan dalam lagu.

"Sebelum Nana masuk Gegar Vaganza (GV) lagi, saya selalu menjadi rakan duetnya. Tapi, tidak menjangka pula mendapat tawaran untuk bekerjasama dalam lagu duet Sekali Lagi ini. Disebabkan kami sudah lama kenal dan perhubungan terjalin juga baik, jadi tidak sukar untuk merakamkan lagu ini.

"Apatah lagi, saya difahamkan Nana mencari suara penyanyi lelaki yang serak-serak basah. Jadi, saya kira ini juga adalah rezeki saya yang mana akhirnya dapat berduet dengan Nana.

"Tapi, ketika menjalankan penggambaran mini siri agak kelam-kabut sedikit sebab kami kena jadi pasangan kekasih. Setiap kali nak berdialog dan melihat wajah Nana, pasti ketawa. Begitu juga dia, masing-masing tak tahan nak gelak. Namun, semuanya dapat dibuat dengan baik mengikut apa yang ditulis Nana," katanya.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Rakaman Seventeen Eleven Music, Roslan Adlie berkata, pihaknya juga merancang untuk menghasilkan kesinambungan mini siri Sekali Lagi itu.

"Sambutan mini siri lagu Angkara pada tahun lalu membawa kepada penerbitan mini siri Sekali Lagi. Malah, apabila dua epsiod sebelum ini 'trending' dan mendapat sambutan baik, kami merancang untuk menerbitkan kesinambungan. Kalau bukan dalam bentuk telefilem, mungkin mini siri lagi.

"Untuk lagu Sekali Lagi ini pula, insya-Allah sudah ada beberapa drama yang berminat untuk menjadikannya sebagai lagu tema. Apapun, kami masih memilih mana yang sesuai berdasarkan tarikh tayangan drama berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:20 AM