KELUARGA Uyaina dan Raja Syahiran buat kejutan pada program MeleTOP.
KELUARGA Uyaina dan Raja Syahiran buat kejutan pada program MeleTOP.
Najiy Jefri

AIR mata pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad mengalir apabila ibunya, Siti Noor Farah mendedahkan merindui anaknya itu kerana jarang dapat bertemu disebabkan jadual kerjanya yang terlalu padat.

Siti Noor Farah berkata, dia kasihan dengan anak perempuannya itu kerana terlalu sibuk bekerja sehingga kadang-kadang tiada masa untuk bercakap dengannya.

"Ummi bukan apa. Kasihan sebab dia selalu kerja teruk sampai tiada masa untuk bermesra dan bercakap dengan Ummi.

"Itu pun sekejap sahaja waktu dia tengah bersolek kita dapat habiskan masa sekejap. Selepas itu, dia pergi kerja sampai lewat malam baru balik, Ummi pun dah tidur. Esok pagi pun masih macam itu juga," katanya.

Uyaina, 28, atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, dia amat sayangkan ibunya dan bersyukur dengan kehidupan yang dipinjamkan oleh Allah SWT.

"Kita kena banyak bersyukur. Mungkin banyak yang kita tidak dapat capai tahun lalu. Target kita tak tercapai mungkin.

"Tetapi, kita kena bersyukur setiap hari Allah bagi rezeki, dapat bernafas dan meneruskan hidup dengan baik," kata pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu.

BERSAMA kekasihnya, Raja Syahiran.
BERSAMA kekasihnya, Raja Syahiran.

Air mata Uyaina gugur pada program MeleTOP Selasa lalu apabila pihak produksi program hiburan itu membuat kejutan dengan membawa ibunya ke atas pentas.

Bukan itu sahaja, kekasih hati Uyaina iaitu penyanyi, Raja Syahiran turut melakukan kejutan apabila muncul membawa sejambak bunga buat dirinya.

Uyaina berkata, Syahiran memiliki ciri-ciri lelaki yang diimpikan.

"Terima kasih sebab jadi seorang yang 'sweet' dan manusia paling penyayang yang pernah saya kenal.

"Dia lelaki yang baik. Saya doakan semoga dia berada dalam pelukan Allah dan menjadi anak yang terbaik untuk keluarganya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Uyaina kini sibuk menjalani penggambaran drama Love Elsa bersama pelakon Zul Ariffin untuk terbitan Astro.

UYAINA dan Zul berlakon bersama dalam drama Love Elsa.
UYAINA dan Zul berlakon bersama dalam drama Love Elsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:45 AM