Norhayati Nordin


PEMBABITAN pelakon dan pengacara jelita, Ramona Zamzam, 31, dalam industri hiburan tanah air sudah menghampiri dua dekad.

Sejak aktif membina nama dengan bakatnya pada 2002, nama Ramona jarang terpalit kontroversi dan cerita sensasi.

Ramona juga dikenali sebagai seorang yang amat berhati-hati dalam setiap langkah dan pergaulannya.

Baginya, dia harus menjaga kepercayaan dan nama baik ibu bapa.

Bernikah dengan jejaka Palestin, Rami Alashkar pada 1 Mei 2015, Ramona bersyukur dipertemukan jodoh dengan suami yang disifatkan cukup memahami dan sentiasa menyokong kerjayanya.

Namun, aktiviti seni Ramona mula 'senyap' pada 2017 selepas dia hamil dan melahirkan anak perempuannya, Ivanna Alaskhar yang kini berusia tiga tahun.

Katanya, dia terpaksa menghilangkan diri seketika dari radar hiburan demi anak.

"Sukar bagi saya pada awalnya untuk kembali aktif dalam kerjaya seni selepas mempunyai anak dan bergelar ibu. Apatah lagi, Ivanna menyusu badan dan bekerja dalam produksi seperti penggambaran drama, ia tidak menentu masa.

"Jadi, daripada saya memberi masalah kepada pihak produksi untuk komitmen peribadi, lebih baik menyepi dulu. Walaupun tawaran berlakon masih ada ketika itu, saya tolak saja.

"Saya mahu fokus kepada mengurus anak dan membiarkan perasaan rindu untuk bekerja di lokasi membuak-buak. Apapun, yang pasti saya tak mahu buat keputusan drastik dan pentingkan diri. Pada saya, biar masa menentukan," katanya.

Menurut Ramona yang turut fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin, cuma pada tahun lalu ada rezeki berlakon buatnya apabila muncul membintangi drama Ironi Kasih yang ditayangkan di slot Akasia TV3.

Katanya, bermula dari situ tawaran berlakon diterima tak putus.

"Walaupun tahun lalu negara kita dilanda penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dilaksana, saya laluinya dengan tenang dan sabar kerana perkara ini sesuatu yang tidak pernah terduga.

RAMONA kini tampil membintangi drama Love Elsa di Astro Ria.
RAMONA kini tampil membintangi drama Love Elsa di Astro Ria.

"Namun, rezeki saya dalam lakonan, pengacaraan termasuk ulasan produk di media sosial tetap ada. Saya bersyukur kerana masih lagi mendapat peluang itu biarpun sebelum ini menyepi hampir tiga tahun," katanya.

Ramona yang kini muncul dalam drama Love Elsa di Astro Ria berkata, dia juga tidak begitu memilih watak.' Katanya, jika watak itu sesuai dan dirasakan mempunyai impak untuk mutu lakonan dipersembahkan, dia terima.

"Sejak dulu, saya kalau berlakon memang akan mencari-cari watak yang ada kelainan. Sama ada watak utama atau pembantu, saya okay saja kerana paling utama bagaimana perjalanan watak itu nanti. Begitu juga, dengan watak antagonis dilakonkan.

"Saya tidak menceburi kerjaya seni ini untuk mengejar popular selain disebabkan minat. Ditambah juga, saya suka kerjaya yang aktif dan membolehkan bekerjasama dengan ramai orang dan banyak pihak," katanya.

Justeru, antara drama dibintangi Ramona sebelum ini ialah Begitukah Cinta, Nora Elena, Cinta Jannah, Tuan Rumah Pembantu Rumah, Plan Cinta Tak Jadi, Anakku Diva, My Sweet Lavender dan banyak lagi.

Tidak terkecuali, dia juga pernah membintangi filem seperti Castello, 2 Hati 1 Jiwa, Sepah The Movie, Hospital, Jengka dan KL Special Force.

KELUARGA bahagia, Ramona bersama suami, Rami dan anak mereka, Ivanna.
KELUARGA bahagia, Ramona bersama suami, Rami dan anak mereka, Ivanna.

Terima kecaman netizen

Tampil melakonkan watak Ramona, seorang ibu tiri muda dilihat seakan 'tamak' pada harta anak tirinya, Ammara dalam drama Love Elsa itu, diakui Ramona sudah menyebabkan dia mula menerima kecaman netizen di media sosial.

Katanya, ada juga penonton drama itu yang beremosi hingga sanggup menghantar kiriman mesej geram, marah serta tidak puas hati dengannya di Instagram.

Menurutnya, mungkin mereka terkesan dengan watak itu.

"Apapun, ketika saya menerima tawaran watak sebagai Ramona ini memang sudah macam terasa akan dikecam. Maklumlah, jadi ibu tiri muda dan ada kaitan dengan ambil suami orang pula. Ia mungkin agak sensitif pada segelintir orang.

"Namun, saya hanya seorang pelakon yang bertanggungjawab untuk watak berkenaan. Jahat memang adalah sedikit sebab ibu mana yang tak bimbangkan hak untuk anaknya, Luth dan itu yang saya tunjukkan," katanya.

Mengakui dia menerima kecaman itu secara positif, Ramona berkata, apabila ada penonton bengang dengan watak terbabit, bermakna lakonannya menjadi.

Katanya, watak ibu tiri itu adalah pertama kali dibawanya.

"Apapun, saya berterima kasih kepada penonton drama Love Elsa kerana terima lakonan saya. Tapi, itu hanya lakonan semata-mata dan saya sekadar memberi yang terbaik untuk watak berkenaan," katanya.

Love Elsa yang mempunyai 24 episod diarahkan Michael Ang. Selain Ramona, barisan pelakon drama ini ialah Zul Ariffin, Uyaina Arshad, Mona Allen, Badrul Muhayat, Ikram Juhari, Mustapha Kamal, Riz Amin, Ku Faridah dan Zeera Azizi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:00 AM