FIZA akui harap sinar lebih cemerlang dalam kerjaya seni sepanjang tahun ini.
FIZA akui harap sinar lebih cemerlang dalam kerjaya seni sepanjang tahun ini.
Norhayati Nordin


SESUNGGUHNYA urusan rezeki ketentuan Allah SWT. Sebagai insan biasa, perkara utama yang perlu dipegang kukuh adalah kemahuan terus berusaha.

Itu yang dilakukan pelakon, Fiza Thomas, 26. Selama lima tahun membina kerjaya seni secara serius, wanita asal Sarawak ini tetap cekal dan tabah mengharungi segala dugaan.

Pernah menyertai program realiti nyanyian, Akademi Fantasia (AF) 2016, Fiza berkata, kini dia selesa mengambil apa saja peluang yang lebih dahulu datang kepadanya sama ada berlakon, menyanyi mahupun mengacara.

"Saya takkan cerewet dan bersikap memilih. Bagi saya setiap tawaran kerja yang datang itu adalah rezeki. Paling utama yang perlu difikirkan ialah saya ada kerja dan pendapatan.

"Setakat ini saya bersyukur sahaja dengan segala rezeki yang datang. Malah, saya juga bersedia cuba mempelbagaikan bakat dalam cabang seni yang lain," katanya.

Fiza atau nama sebenarnya Nur Hafizah Longkip @ Thomas berkata, sekarang dia perlu berani mencuba. Kalau dia takut atau tidak yakin, pasti ketinggalan.

Mengulas mengenai Covid-19, Fiza berkata, dia turut terkesan apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

SELESA ambil apa saja peluang dalam cabang seni.
SELESA ambil apa saja peluang dalam cabang seni.

"Bagaimanapun, ia adalah ujian kepada kita semua. Jika saya memikirkan keadaan susah ketika itu, rasanya masih ramai orang lain yang berhadapan kesusahan berbanding saya. Apa yang penting, perlu sentiasa positif.

"Penularan Covid-19 itu banyak memberi pengajaran. Antaranya saya sedar betapa penting perlu berhemah dalam berbelanja. Mujur, saya bukan orang yang boros," katanya.

Kemunculan Fiza dalam lakonan mula menyerlah selepas dia membintangi iklan Petronas, Rendang SoRaya sempena Aidilfitri pada 2019 sebagai watak Soraya. Sejak itu, dia mula mendapat tawaran berlakon drama TV sebagai watak pembantu.

Bukan hanya aktif beraksi dalam drama, Fiza juga sering terbabit dengan pementasan teater. Malah, dia adalah salah seorang bintang teater daripada keluarga besar Enfiniti Academy dinaungi Puan Sri Tiara Jacquelina.

Pada Oktober tahun lalu, Fiza tampil dengan lakonan mantap untuk watak Jasmin dalam drama Syurga Untukmu di TV3 bersama Fahrin Ahmad, Datin Diana Danielle, Yuna Rahim dan Nor Albaniah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 6:15 AM