FIZA syukur dapat rezeki berlakon dan menyanyi juga.
FIZA syukur dapat rezeki berlakon dan menyanyi juga.
Norhayati Nordin

Hanya perasaan syukur tak terhingga mampu dipanjatkan segelintir pelakon dan penyanyi yang sudah lengkap mendapat dua dos vaksin Covid-19 untuk berjuang semula memulihkan ekonomi sebagai penggiat seni.

Selepas lebih tiga bulan 'berehat seketika' berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana sejak awal Jun lalu untuk mengekang penularan wabak menyebabkan aktiviti penggambaran turut dihentikan.

Bagaimanapun, langkah awal pencegahan tetap dibuat kerajaan dengan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) sejak 24 Februari lalu untuk membolehkan semua rakyat mendaftar vaksinasi dan mendapatkannya secara berperingkat.

Justeru, hingga kini ramai juga penggiat seni tanah air yang sudah mendapat vaksinasi lengkap masing-masing sebagai ikhtiar bagi membiasakan diri dengan kehidupan norma baharu kerana virus ini sudah ada dalam komuniti.

Bagi pelakon dan penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah dikenali sebagai Fiza Thomas, 28, berkata, dia kini teruja nak kembali ke lokasi penggambaran drama Lelaki Pendosa untuk TV3 yang terhenti sebelum ini kerana PKP.

"Selain siapkan drama, saya juga terbabit untuk sebuah projek kolaborasi merakamkan lagu khusus mengenai situasi pandemik ini bersama beberapa bakat baharu tanah air dan ia diterbitkan pelakon Jasper Supayah.

"Alhamdulillah, nampaknya ada juga rezeki saya dalam nyanyian lagi menerusi single istimewa berjudul Jiwa Sama yang dilancarkan pada 14 September ini (hari ini) bersempena meraikan Hari Malaysia," katanya.

Fiza atau nama sebenarnya Nur Hafizah Longkip@Thomas juga pernah menyertai Akademi Fantasia 2016 (AF 2016), namun rezeki wanita ini dalam karier seni lebih ke arah berlakon drama, iklan komersial dan pementasan teater.

Apa yang pasti, Fiza sudah mendapatkan suntikan dos kedua vaksin pada 25 Ogos lalu. Katanya, dia kini bersiap sedia untuk mula bekerja di lokasi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pelakon teater Ola Bola The Musical dan iklan #Rendang SoRaya terbitan Petronas ini juga mengakui dia sanggup melakukan ujian calitan Covid-19 setiap kali diperlukan sebagai pencegahan awal demi keselamatan diri.

Menurut Fiza, selain itu meskipun dia mempunyai status vaksin lengkap, namun kena selalu berhati-hati. Katanya, perkara membabitkan jangkitan Covid-19 tidak boleh diambil sambil lewa walaupun sudah vaksin dos lengkap.

"Virus ini kita tidak nampak dan ia ada di mana-mana. Jadi, penting untuk saya memastikan keadaan diri berada pada tahap baik dan waspada selalu. Saya memang utamakan semua SOP diberi untuk panduan.

"Pada saya, mencegah lebih baik. Jadi, untuk itu saya juga berdoa supaya diri terus dilindungi Allah sepanjang keluar bekerja nanti. Apapun, saya sangat gembira sekarang dah dapat bekerja semula untuk mencari rezeki dalam kerjaya seni," katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan ada kelonggaran buat penggiat industri kreatif aktif semula bekerja dengan memastikan sudah menerima dua dos vaksin lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:30 AM