FIZA elak jadi bahan cerita sensasi, gigih berusaha ketengahkan bakat.
FIZA elak jadi bahan cerita sensasi, gigih berusaha ketengahkan bakat.
Norhayati Nordin

WALAUPUN menyedari kini pengaruh 'viral' berleluasa, pelakon Fiza Thomas enggan namanya jadi perhatian disebabkan terpalit dengan cerita sensasi yang tular di media sosial.

Fiza atau nama sebenarnya Nur Hafizah Longkip@ Thomas berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu terbabit walaupun sekali dengan gosip negatif yang boleh memburukkan nama dan imej dibina.

"Saya tahu ada gosip atau cerita sensasi yang boleh membantu nama seseorang artis dikenali ramai dan sekali gus mengumpul jumlah peminat. Namun, ia bukan pilihan saya.

"Untuk saya, biarpun hampir lima tahun ini masih bergerak perlahan membina nama dan gigih berusaha ketengahkan bakat diri, tak mengapa kerana yakin pada rezeki. Setakat ini pun, alhamdulillah rezeki untuk berlakon masih ada walaupun kebanyakan watak ditawarkan adalah pembantu. Pada saya, okeylah tu.

"Belum rezeki saya agaknya untuk watak utama. Barangkali belum ada drama sesuai untuk saya berlakon watak utama kerana rezeki Allah yang tentukan.

"Saya juga tak memilih watak. Malah, jika memerlukan berlakon watak pelakon tambahan pun, saya terima. Bagi saya, paling penting impak watak itu," katanya.

Menurut wanita yang pernah menyertai Akademi Fantasia (AF) 2016 ini, dia sedar tidak semua pelakon mampu menempa nama dan populariti dengan sangat mudah.

"Daripada apa yang saya perhatikan, ada ramai juga pelakon berjaya menempa nama dan dikenali selepas sedekad atau lebih lama sepanjang mereka menceburi kerjaya seni.

"Malah, ada juga pelakon yang penonton kurang kenal nama mereka, tetapi watak yang pernah dilakonkan itu meninggalkan impak besar dan terus diingati kerana watak berkenaan.

"Selalunya, watak antagonis paling mudah dan cepat penonton ingat. Disebabkan itu, saya sendiri selesa tidak begitu bersikap memilih watak atau cuba 'demand'," katanya.

Kini berusia 27 tahun, Fiza juga tidak menganggap dia sudah berusia untuk membina nama dalam industri hiburan.

Katanya, dia sentiasa terbuka untuk menimba ilmu dan mengembangkan bakat dimiliki.

"Setakat ini saya seronok berlakon dan menyanyi. Cuma, ketika ini rezeki lebih menjurus pada lakonan. Jadi, saya terima saja mana tawaran yang datang dahulu.

"Untuk nyanyian, saya masih berminat meneruskannya, namun enggan terburu-buru. Saya tak mahu nanti yang dikejar tak dapat, dikendong pula berciciran," katanya.

Selesa optimis, Fiza pernah muncul dalam drama Syurga Untukmu yang ditayangkan di slot Samarinda TV3 baru-baru ini.

Melakonkan watak Jasmin, dia gembira dapat berganding dengan pelakon seperti Datin Diana Danielle, Fahrin Ahmad, Yuna Rahim dan Nor Albaniah dalam drama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 6:30 AM