Najiy Jefri


PENYANYI dan peserta program realiti Big Stage 3, Sandra Dianne yang masih belum sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), petang semalam diberi pengecualian untuk tidak beraksi di konsert Big Stage minggu keempat, malam ini.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal berkata, pihaknya amat bersimpati dengan insiden yang menimpa penyanyi itu dan berharap dia segera sembuh.

"Kami masih menanti maklumat terbaru daripada doktor. Namun, melihat keadaan dirinya yang masih tidak sedarkan diri, pihak produksi bersepakat untuk mengecualikan penyertaan Sandra untuk minggu ini.

"Pihak kami juga akan maklumkan perkembangan terkini Sandra dalam program Big Stage dari semasa ke semasa. Tiada penyingkiran terhadap Sandra akan dibuat walaupun dia tidak membuat persembahan malam ini," katanya.

Konsert Minggu Keempat Big Stage ditayangkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), jam 9 malam ini.

Emarina berkata, tema minggu keempat konsert Big Stage adalah Baby Bash di mana setiap peserta akan menyanyikan lagu mengikut tahun kelahiran mereka.

"Sepatutnya konsert malam ini Sandra akan mengalunkan lagu Nuri nyanyian asal Ella. Apapun saya dan seluruh pasukan produksi Big Stage memohon doa peminat dan seluruh rakyat Malaysia supaya Sandra segera sembuh," katanya.

Kemalangan membabitkan penyanyi yang popular dengan lagu Hey Kau itu dipercayai berlaku ketika dia dan sepupunya dalam perjalanan ke PICC untuk latihan penuh konsert Big Stage, semalam.

Berita berkaitan

Sandra Dianne kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 2:14 PM