LOCA B, Noki dan  Kaka Azraff berkolaborasi untuk single terbaharu Gila. FOTO Aziah Azmee
LOCA B, Noki dan Kaka Azraff berkolaborasi untuk single terbaharu Gila. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


TATKALA dunia berdepan ancaman pandemik Covid-19, hampir seluruh negara terperangkap dan merasai impaknya. Malaysia juga tidak ketinggalan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa rakyat Malaysia membataskan pergerakan dan duduk di rumah hampir tiga bulan.

Cuba menyampaikan rasa resah gelisah terperangkap dalam situasi sebegini, artis muzik urban tempatan iaitu Kaka Azraff, Loca B dan Noki dari kumpulan Hip Hop terkenal K-Clique tampil berkolaborasi dalam single terbaharu mereka berjudul Gila.

Lagu ciptaan bersama Noki, Loca B dan Ezra Kong itu diberikan susunan muzik bercita rasa urban sesuai dengan trend muzik masa kini. Sungguh pun begitu, lagu itu bukan sekadar hiburan kosong.

Noki selaku salah seorang pencipta lagu berkenaan berkata, Gila mengangkat subjek berat namun sarat dengan mesej positif, manakala lirik disusun dengan prosa mudah tetapi puitis yang membawa makna yang mendalam.

"Gila menceritakan mengenai kekuatan diri dalam menangani kekalutan yang membelenggu minda dan jiwa dengan menguasai rasa takut dan terus kental menjalani kehidupan.

"Ia juga lebih berkisar kepada luahan hati menerusi lirik dalam lagu ini. Boleh dikatakan ia adalah dua kisah antara saya dan Loca B dan dirangkumkan untuk menjadi sebuah lagu," jelasnya.

Pada majlis pelancaran single itu, turut dilancarkan video muzik rasmi lagu berkenaan yang diarahkan Adriana Tunku dari Denhouse Productions.

Sementara itu, Loca B berkata, dia meletakkan pengalaman hidup dan situasi yang berlaku dalam dirinya untuk setiap bait lirik lagu Gila.

"Menerusi lirik yang ditulis saya letak diri sebagai seorang wanita yang mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa. Selain itu, saya juga cuba menolak segala anasir jahat yang cuba menghalang setiap apa yang dilakukan.

"Banyak cabaran yang pernah saya lalui sebelum ini, antaranya dalam mengejar cita-cita. Saya sanggup bermula dari bawah demi mengejar impian bergelar penyanyi rap. Bagi saya hidup tidak akan bermakna kalau kita tidak melakukan sesuatu dalam hidup.

"Bagi saya kalau tidak mulakan sekarang, saya akan menyesal di kemudian hari. Itulah jalan cerita yang cuba saya rangkumkan dalam bahagian lirik lagu Gila," katanya.

Sementara itu, Kaka yang turut berkolaborasi dalam lagu ini melahirkan rasa gembira kerana dapat bergandingan dengan dua penyanyi rap popular itu.

"Apabila ditawarkan untuk terbabit dengan single ini, saya cukup teruja kerana bekerjasama dengan mereka. Malah, saya berasakan Gila sebuah lagu yang cukup unik.

"Tidak dinafikan kekuatan Gila antara lain disebabkan muzik lagu ini yang berbeza. Nak kata tradisional pun tidak, pop juga bukan. Tapi ada sesuatu yang akan membuatkan pendengar menyukai lagu ini," katanya.

Tambah Kaka, dia tidak kisah untuk berkolaborasi dengan penyanyi rap baharu sehingga digelar artis kolaborasi.

"Banyak ilmu yang dapat ditimba dengan penyanyi lain. Saya tak kisah digelar artis kolaborasi kerana saya tahu ilmu yang saya dapat daripada setiap penyanyi sangat mahal.

"Selain itu, saya juga dapat menjenamakan diri saya bersama peminat mereka. Saya ingin berkongsi muzik dengan semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 6:53 AM