GILA dinobat juara berdasarkan faktor pembaharuan berkualiti yang disuntik dalam karya itu.
GILA dinobat juara berdasarkan faktor pembaharuan berkualiti yang disuntik dalam karya itu.
Georgie Joseph

SELEPAS Jampi dan Haram, tahun ini Gila pula.

Komposer Ezra Kong mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat kejayaan ketiga sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menerusi lagu dan lirik ciptaannya bersama Noki dan Loca B.

Lagu berjudul Gila itu dipersembahkan oleh Kaka Azraff, Noki dan Loca B di malam AJL35 yang berlangsung dalam norma baharu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, malam kelmarin.

Selain itu, satu lagi lagu ciptaannya bersama Hael Husaini iaitu Belenggu Rindu nyanyian Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita berjaya mendapat tempat ketiga.

Terdahulu, Ezra bersama Hael muncul juara AJL32 menerusi lagu Jampi nyanyian Hael dan juara AJL33 dengan lagu Haram nyanyian Hael dan Dayang Nurfaizah.

Selepas beberapa tahun berkarya, jelas Ezra terus berdedikasi tinggi menghasilkan karya bermutu.

Bergabung dengan Hael selama ini, namun kali ini dia bertukar angin bekerjasama dengan Noki dan Loca B.

Keperibadiannya yang sangat merendah diri, dia akui masih terkejut dengan kemenangan Gila. Dia tidak menyangka gabungan mereka bertiga berjaya membuahkan hasil.

DATUK Jamal Abdillah dan Wany Hasrita tidak pulang dengan tangan kosong.
DATUK Jamal Abdillah dan Wany Hasrita tidak pulang dengan tangan kosong.

"Sebenarnya kerjasama menghasilkan Gila adalah idea Raqeem Brian dari Warner Music yang bertanggungjawab menggabungkan kami. Secara keseluruhannya, idea gabungan itu sendiri yang menjadi tonggak kejayaan pada malam ini (kelmarin).

"Idea mencipta lagu ini adalah daripada mesej seorang individu di Instagram yang berdepan dugaan untuk merantau dan dia takut dengan situasi 'gila' di bandar. Lirik rap Noki dan Loca B yang hebat serta bergabung dengan Kaka, itulah magis sebenar lagu ini," katanya.

Sementara itu, Kaka ternyata tewas dengan emosinya. Dalam kalangan semua peserta bertanding malam itu, dia berdepan ujian paling besar menjelang kemuncak AJL35.

Minggu lalu, dia kehilangan nenek tercintanya sewaktu dalam tempoh mempersiapkan diri untuk bertanding. Jelas, dia memendam kesedihan yang begitu berat namun ia terbayar dengan kemenangan itu.

"Berhari lamanya saya pendam pelbagai kesakitan dalam hati. Saya cuma mahu fokus untuk memberikan yang terbaik dan membawa semangat arwah nenek ke pentas akhir itu.

"Ia sangat bermakna untuk membawa semangat itu kerana nenek yang mengajar saya menyanyi sejak kecil lagi. Tentu sekali dia ingin saya melakukan yang terbaik dan alhamdulillah, saya berjaya," katanya.

Apa yang menarik, kemenangan itu tuah yang cukup istimewa buat Noki dan Loca B. Mana tidak, ia penampilan sulung mereka di pentas berprestij itu dan terus mendapat gelaran juara.

Terdahulu, ketua juri AJL35, Datuk Mokhzani menjelaskan, intipati mesej kuat dan melodi segar menjadi faktor utama lagu Gila diangkat sebagai juara.

AINA Abdul membolot hadiah keseluruhan naib juara menerusi lagu Semalam.
AINA Abdul membolot hadiah keseluruhan naib juara menerusi lagu Semalam.

Menurutnya, pembaharuan karya sebegitulah yang mereka cari dan secara keseluruhannya lagu berkenaan memang cukup kuat.

Namun, beliau tidak menafikan jurang markah Gila dan naib juara iaitu Semalam cukup rapat. Semalam yang dicipta sepenuhnya nyanyian sendiri Aina Abdul ternyata memberikan saingan sengit.

"Lagu Semalam adalah sebuah lagu yang krafnya dibuat sendiri pencipta serta penyanyi sama. Jadi, ia menjadi kelebihan kuat untuk Aina bersatu dengan karya yang dicipta khas untuk dirinya itu.

"Bagaimanapun, setiap tahun kami mencari pembaharuan dalam lagu bertanding tapi 'baharu' yang berkualiti. Gila mengangkat genre rap dan etnik dengan ciptaan teknikal serta elemen komersial yang diterima ramai," katanya.

Selepas tercicir peluang tahun lalu, Ernie Zakri yang mempertaruhkan lagu Gundah berhasil membawa pulang trofi Vokal Terbaik. Tiada pertikaian bahkan rata-rata pihak merestui kemenangannya itu.

Hakikatnya, dia sendiri mengaku tidak sama sekali jangka akan menang. Berdepan masalah kesihatan sejak beberapa hari lalu, Ernie berkata, dia cuma mahu fokuskan supaya dapat beri nyanyian meyakinkan pada malam itu.

"Saya memang tidak letak harapan tinggi kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Sudah beberapa hari tekak saya perih namun sudah tertulis rezeki memihak kepada saya. Syukur sangat.

"Semestinya ia jadi kenangan terbaik untuk saya kenang. Terus-terang, saya agak risau sewaktu baharu mula menyanyi tiba-tiba susah menitiskan air mata. Biasalah bila terlebih emosi, pasti kacau nyanyian.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat menahan sebak kerana lagu ini pun saya tulis sendiri untuk arwah datuk dan nenek. Jadi, ia membuatkan emosi saya lebih sukar tertahan apabila memikir mereka," katanya.

Selepas 11 tahun menanti, Zizi Kirana yang dinobatkan Persembahan Terbaik jelas terkejut dengan kemenangan itu.

Dia tidak henti memanjat kesyukuran dengan pencapaian yang lama dia diidamkan.

ZIZI Kirana tidak sangka penantian 11 tahun terbayar dengan trofi Persembahan Terbaik.
ZIZI Kirana tidak sangka penantian 11 tahun terbayar dengan trofi Persembahan Terbaik.

Tampil menggabungkan elemen etnik tempatan dan Indonesia, Zizi yang menyanyikan Eh! berjaya memukau penonton dengan konsep unik menerusi persembahan itu. Dia jelas berhabisan menakluk pentas dengan aura tersendiri.

Menurutnya, dia sedikit sedih apabila pelan pementasan awalnya tidak menjadi susulan pengurangan kuota orang yang berada di pentas. Apapun, Zizi tidak langsung goyah dengan dugaan itu untuk memberikan persembahan terbaiknya.

"Mulanya saya memang nak bawa segerombolan pemuzik tradisional untuk meriahkan pentas. Namun, akur dengan pertukaran atas keselamatan itu dengan menampilkan beberapa penari saja akhirnya.

"Misi saya cuma untuk berseronok dan menikmati sebaiknya pengalaman beraksi di AJL. Tidak terlintas langsung nak sasar menang apa-apa. Kejayaan ini tidak bermakna tanpa bantuan seluruh pasukan yang membantu saya dari awal sampai malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:00 AM