(DARI KANAN) Noki, Kaka Azraff dan Loca B  bersama trofi selepas dinobatkan sebagai Johan Anugerah Juara Lagu (AJL) 35 yang berlangsung di Auditorium MBSA.
(DARI KANAN) Noki, Kaka Azraff dan Loca B bersama trofi selepas dinobatkan sebagai Johan Anugerah Juara Lagu (AJL) 35 yang berlangsung di Auditorium MBSA.
Riadz Radzi


Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi.

Peribahasa ini sesuai dengan malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang melabuhkan tirainya Ahad lalu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sebaik lagu Gila ciptaan dan lirik oleh Ezra Kong, Loca B dan Noki diumumkan juara, bertebaran komen di media sosial daripada 'tentera bawang' memperkatakan mengenai kemenangan lagu dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki itu.

Bukan saja mengenai keputusan juri, tetapi juga mengenai perjalanan AJL35 secara keseluruhan termasuk persembahan artis, pengacara, pakaian dan macam-macam lagi.

Paling diperkatakan ramai pastinya persembahan Nabila Razali menerusi lagu Peluang Kedua yang dikatakan 'terkucil' di satu bahagian.

Membaca komen di media sosial bukan saja membuatkan saya tergelak dan kasihan, tetapi juga beristighfar!

Begitu senarionya apabila wujudnya media sosial apabila manusia boleh berubah menjadi dua watak.

Ketika berjumpa anda dia mungkin seorang lemah lembut, sopan dan baik hati, tapi dalam media sosial lagaknya boleh berubah ganas seperti tentera Serb ketika Perang Balkan di Eropah pada awal 1990-an dulu.

Apabila menyebut mengenai AJL35, maka ramai yang secara tiba-tiba bertukar kerjaya menjadi penyanyi, komposer, penulis lirik, ketua juri, penerbit program, pereka pentas, jurukamera termasuk ustaz dan ustazah!

Semuanya tak betul di mata mereka!

Ramai juga yang 'acah-acah' menjadi golongan berpendidikan kononnya tidak menonton AJL35 kerana ia program sampah (tapi pada masa sama mahu ambil tahu perkembangannya juga).

Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid berkata, dia bersama warga kerja produksi sudah bersedia dengan apa saja yang akan dikomen, dikecam atau dikritik netizen di media sosial.

"Sebaik mana pun hasil kerja dibuat, pasti akan ada orang yang tidak berpuas hati. Jadi, semuanya kami ambil positif kerana mereka hanya menonton dan tak pernah tahu pun apa kepayahan yang warga produksi hadapi untuk memastikan acara ini dapat berlangsung lancar.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua netizen kerana menonton AJL35. Cerita tular dikongsi mengenai AJL35 sangat kelakar dan saya hanya ketawa. Sekurang-kurangnya orang tengok dan melihat apa yang berlaku itu," katanya.

Nurhul berkata, bukan mudah menganjurkan AJL35 walaupun tiada penonton.

"Cabarannya agak besar, tapi kami warga produksi tetap berusaha juga sekalipun perlu menghadapi banyak kekangan," katanya.

Sebenarnya, apa yang berlaku ini sudah wujud sejak penganjuran AJL yang pertama lagi pada 1986 (ketika itu dikenali sebagai Juara Lagu).

Bezanya ketika itu tiada media sosial, jadi penonton dan peminat hanya berbincang sesama mereka dan ia tidak sampai kepada pasukan produksi dan peserta.

Lain jika komen itu datang daripada individu bernama besar dalam industri muzik dan ia disiarkan dalam akhbar, majalah atau stesen TV.

Contohnya ketika Juara Lagu 1989, ada peminat kumpulan Search dan Wings 'bertekak' sesama sendiri mengenai kemenangan Search menerusi lagu Isabella dalam kategori Persembahan Terbaik.

Rata-rata peminat Wings dan juga sebahagian besar penonton Juara Lagu ketika itu tidak berpuas hati apabila lagu Taman Rashidah Utama dan Misteri Mimpi Syakilla hanya menduduki tempat kedua dan ketiga bagi kategori itu.

Mereka menyifatkan Wings memberikan persembahan yang cukup mantap menerusi kedua-dua lagu itu dan layak menang Persembahan Terbaik.

Bagaimanapun, keputusan juri tetap muktamad dan Search turut mengungguli Juara Lagu 1989 apabila Isabella menyapu bersih dengan muncul juara keseluruhan, Persembahan Terbaik dan Lirik Terbaik.

Bayangkan jika waktu itu sudah wujud media sosial seperti hari ini. Agaknya tentu Search dikecam teruk netizen!

Berbalik kepada AJL35, kemenangan Gila dipertikaikan dengan mendakwa ia lagu sampah, judul lagu merepek dan susunan muzik yang entah apa-apa!

Itulah, kadang-kadang pelik dengan kemahuan sebenar netizen ini. Lagu genre apa pun yang menang, ia tetap tak kena dengan kemahuan mereka.

Ketua Juri AJL35, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan, Gila menepati kriteria iaitu berkualiti dan bukan bersandarkan kepada populariti semata-mata.

"Kita tidak boleh menilai lagu mengikut cita rasa muzik yang kita suka. Penerimaan orang terhadap sesebuah lagu itu juga berbeza.

"Ada yang suka kerana kualitinya dan ada yang minat penyanyi. Kita tidak boleh nilai berdasarkan populariti. Justeru saya minta juri untuk memilih pemenang berdasarkan kriteria yang ditetapkan," katanya.

Mokhzani yang juga Pengarah Muzik Orkestra RTM berkata, Gila dipilih kerana komposer berani membuat pembaharuan.

"Lagu itu agak kompleks daripada sudut teknikal pembikinannya, tetapi tidak mengetepikan aspek komersial. Melodinya juga sarat dengan elemen kemelayuan. Itu yang membuatkan ia unik," katanya.

Secara peribadi, saya bersetuju dengan penjelasan Mokhzani ini. Gila ada kelebihan tersendiri walaupun mengetengahkan elemen rap dan hip hop, ia turut menyelitkan bunyi kemelayuan.

Saya tidak nampak apa masalah dengan judulnya yang dikatakan merepek dan mengarut. Jika diamati liriknya, ia berinspirasikan daripada kisah benar seseorang yang tidak berani untuk berhijrah kerana takut dengan situasi 'gila' di bandar.

Ia ringkas, tidak kompleks dengan bahasa bombastik atau absurd dan maksudnya tepat.

Kecam dan kutuk sepuas-puasnya, namun apabila tiba waktunya, ramai yang tetap menghadap TV menonton AJL.

Saya teringat cerita bekas 'orang kuat' sebuah stesen TV yang juga saingan TV3.

"Setiap kali kami 'brainstorming' untuk mengadakan program baharu, perkara pertama yang dibincangkan ialah bagaimana nak 'beat' (tewaskan) AJL," katanya.

Itu bukti AJL terus diangkat sebagai program hiburan tempatan paling berprestij.


Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 6:00 AM