BEN Amir. FOTO Eizairi Shamsudin
BEN Amir. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri


"SAYA memang kurang mesra, tapi saya bukan seorang yang kurang ajar."

Itu jawapan pelakon, Ben Amir, 30, apabila ditanya mengenai sikap dinginnya yang menjadi bualan segelintir penggiat industri hiburan sejak akhir-akhir ini.

Ben juga dikatakan memilih wartawan untuk ditemubual apabila dia sukar untuk bekerjasama dengan segelintir wartawan.

Ben berkata, dia akan melayan orang dengan baik sekiranya layanan yang diberikan kepadanya adalah setara.

"Kalau orang layan saya dengan baik, tentunya saya akan layan dengan baik dan begitulah sebaliknya," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon yang kini membintangi filem TV (FTV) berjudul Aku, Bunga itu juga menafikan dia memilih bulu dalam kalangan rakan media.

"Saya tak memilih bulu dan tak pilih mana-mana wartawan untuk ditemubual. Ada mesej daripada wartawan yang saya tak sempat nak layan kerana setiap hari, banyak mesej masuk ke telefon saya.

"Saya boleh berikan kerjasama kepada media, tetapi saya lebih terbuka untuk bercerita mengenai kerjaya saya berbanding perkara peribadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 5:20 PM