Ben Ali.
Ben Ali.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan, Ben Ali yakin Fathia Latiff yang akan menyertai acara Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2024 bermula 29 Mac ini akan bersikap profesional di hadapan khalayak dan peminat.

Ben yang juga penganjur acara berkenaan berkata, dia bagaimanapun akan memastikan tahap keselamatan semua pihak terjamin supaya acara itu berlangsung dalam keadaan terkawal.

"Kalau ada dalam kalangan artis yang bermasam muka, saya percaya mereka akan bersikap profesional.

"Namun jika ada pengunjung yang tak selesa dengan artis itu, perkara itu di luar kawalan saya.

"Apa pun di pihak Absolut Bazaar kami akan menyediakan tahap keselamatan yang terbaik untuk mengelak daripada sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.

Menurut Ben, dia juga menafikan tujuan mengundang Fathia adalah sebahagian daripada gimik promosi, sebaliknya menjelaskan pelakon itu adalah rakan selebritinya.

"Fathia adalah kawan baik saya, kami dah berkawan agak lama. Kehadiran Fathia pada tahun ini juga sudah memasuki tahun ketiga sejak 2022.

"Tolak tepi soal kontroversi yang membabitkan namanya, saya tetap undang dia ke festival ini atas kapasiti kawan dan perniagaan sahaja.

"Bagi saya, apa yang berlaku fasal Fathia itu adalah masalah peribadi dia. Tiada kena mengena dengan festival ini.

"Bukan nak gunakan Fathia sebagai 'marketing' atas isu dia. Sebab kami sokong semua golongan artis yang ingin berniaga," katanya.

Ben ditemui pada majlis sidang media Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2024 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Terdahulu, Fathia menimbulkan beberapa kontroversi susulan tindakannya menyerang beberapa selebriti tanah air.

Malah, ada segelintir pihak yang mendakwa aktres itu tidak berada dalam keadaan baik dan sedang sakit.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh pelakon drama Ariana Rose itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:10 PM