Sudirman Mohd Tahir

DRAMA Sweet Dreams yang ditayangkan pada 2019 benar-benar memberi impak besar dalam kerjaya lakonan Ben Amir.

Tidak keterlaluan jika dikatakan menerusi drama itu nama dan populariti Ben mula mencanak sehingga menjadi siulan peminat drama tempatan.

Malah, menerusi drama itu juga membawa Ben, 31, atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin naik pentas anugerah tahun lalu.

Ben yang juga bekas finalis Hero Remaja 2011/2012 memenangi kategori Pelakon TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33) dan Pelakon MeleTOP pada Anugerah MeleTOP ERA 2020.

Menurut Ben, kejayaan yang dicapai itu sedikit sebanyak melayakkan dirinya untuk lebih selektif dalam berkarya.

"Sebelum menang anugerah lagi, saya sudah selektif, tapi sekarang kena lebih selektif lagi. Bagi saya, setiap karya itu memang kita kena memiih. Takkan nak main berlakon saja, jadi memilih memang kena ada.

"Sama juga macam kerja luar, makin naik pangkat dalam syarikat, akan 'demand' dari segi gaji. Sebab tanggungjawab pun makin tinggi. Bukan suka-suka nak naikkan harga. Sebab apabila naik pangkat kerja lebih berat dan tanggungjawab besar.

"Macam kerjaya saya sekarang, sudah tentu akan memilih drama atau filem nak buat serta nak berlakon dengan pelakon dan pengarah mana. Sebab itu semua menentukan kejayaan selepas itu," katanya.

Ben yang juga pelakon drama Sang Pewaris yang baharu saja ditayangkan di TV3 berkata, soal 'demanding' dalam kerjaya perlu seiring dengan apa dicapai.

"Dalam bekerja kena jaga kualiti terutama dari segi lakonan. Kalau nak ambil tawaran kerja, berlakon dengan sesiapa pun dan pengarah mana, itu kita kena tahu.

"Kedua-dua ini kena bergerak sama. Kalau tidak nanti karya itu tak jalan. Sayang kalau kita dah menang anugerah, dapat karya tak bagus," katanya.

Bagaimanapun, Ben mengakui dia tidak pernah lagi membuat permintaan atau memilih untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon.

"Pilih pasangan berlakon, tak pernah nak buat permintaan lagi. Saya bertuah kerana selalu dapat yang sesuai. Jadi tidak pernah lagi ada isu tak nak berlakon dengan mana-mana pelakon. Setiap kali dapat tawaran memang tepat dengan pelakon itu. Memang nak berlakon dengan orang itu atau pengarah itu.

"Macam berlakon degan pelakon sama, saya okay saja. Macam selepas ini pun saya akan berlakon semula dengan Mira Filzah menerusi drama Sweet Dreams 2. Lagi pula drama Sweet Dreams sudah lebih setahun ditayangkan.

"Malah, kalau dengan pelakon baharu pun saya okay. Asal saja dia minat berlakon, ada kualiti dan boleh memberi," katanya.

PRIVASI dalam soal peribadi.
PRIVASI dalam soal peribadi.

Jadi rebutan

Dalam perkembangan lain, Ben berkongsi dia bakal muncul dalam drama Diva Popular untuk tayangan Awesome TV.

Menerusi drama itu, Ben melakonkan watak Syazwan yang menjadi kekasih Ika Natalia lakonan Tiz Zaqyah serta menjadi rebutan Erma lakonan Nabila Huda.

"Dalam drama ini saya melakonkan watak Syazwan seorang pelakon yang meletup. Karakternya relaks dan 'cool'. Dalam masa sama dia bercinta dengan Ika Natelia lakonan Tiz, tapi Erma Erika (Nabila Huda) cuba masuk jarum. Jadi mereka bergaduh," katanya.

Ben berkata, antara sebab dia menerima tawaran itu kerana drama berkenaan membariskan pelakon dan pengarah hebat.

"Satu faktor kenapa saya terima tawaran ini adalah pelakon semua hebat. Lagi pula ini cerita komedi. Kebetulan saya sudah lama tak buat komedi. Drama ini pun tak 'stres'. Sebelum ni buat cerita berat, jadi saya tukar pula.

"Diakui apabila dapat tawaran ini, saya menonton semula cerita Pengantin Popular lakonan Kak Ogy dan Kak Erma. Jadi, baharu tahu itu karakter mereka dan macam mana pembawaan mereka dalam cerita itu. Sebab dalam Diva Popular ini pun mereka berlakon juga sebagai mak kepada Tiz dan Nabila.

"Pendek kata, sepanjang penggambaran memang okay, tak tertekan. Setiap pelakon gelak dan gembira saja. Semua pasukan pun 'masuk air'. Rasa seronok saja di set penggambaran," katanya.

Dalam masa sama, Ben berkata, tahun ini dia banyak mendapat tawaran berlakon filem.

"Sebenarnya tahun ini ada banyak perancangan dalam kerjaya. Lagi pula tahun ini banyak nak buat filem. Tapi, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak tawaran yang terpaksa ditangguh. Tapi, saya akan fokus drama Sweet Dreams 2 dulu," katanya.

Ditanya sama ada dia akan menceburi bidang nyanyian pula, Ben mengakui dirinya tidak berbakat menjadi penyanyi.

"Menyanyi tak boleh menyanyi. Kalau mengacara ada. Patutnya saya mengacarakan program travelog iaitu ke Jepun dan Korea. Tapi, sebab tak boleh ke luar negara, jadi kena tangguh dulu," katanya.

Menyentuh soal peribadi, Ben mengambil pendekatan untuk bersikap tertutup.

"Kalau untuk kisah peribadi, saya nak tertutup. Macam saya pun jenis yang sangat privasi dalam soal peribadi. Jadi, tidak ada nak beritahu semua orang yang saya bercinta dengan sesiapa. Kalau nak lamar pun kena tertutup. Saya lebih suka privasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:00 AM