PU Riz.
PU Riz.
Sudirman Mohd Tahir

PELAKON dan pendakwah bebas, PU Riz mengakui puas dapat berlakon dalam filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) sekali gus dapat menyampaikan mesej dakwah dalam filem itu.

Riz, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail berkata, idea berbeza yang diampilkan dalam filem arahan Rahila Ali itu membuatkan dia terpikat untuk membintangi karya seumpamanya.

"Filem ini tidak memberi fokus kepada cinta sepenuhnya, tapi ada mesej yang lebih besar untuk disampaikan kepada penonton iaitu mengenai isu anak luar nikah.

"Daripada isu ini, penonton diajar mengenai beberapa perkara termasuk hukum membabitkan ayah kandung dengan anak luar nikah itu. Sedikit sebanyak, karya ini lebih mendidik dan dekat dengan kehidupan kita sebagai orang Islam.

"Pendek kata, yang kurang arif mengenai sesuatu hukum agama boleh dapat ilmu. Sejujurnya, saya 'look forward' untuk buat lagi karya sebegini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Riz yang juga pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan, filem terbitan Pencil Pictures & Records itu memberikan cabaran tersendiri buat dirinya apatah lagi ketika itu dia baru dua tahun terbabit dalam bidang lakonan.

"Ini filem sulung lakonan saya. Malah, ketika ini saya masih baru lagi dalam industri filem. Kalau diberi peluang untuk perbaiki lakonan, banyak saya nak tambah baik.

"Saya berterima kasih kepada pengarah dan Ashraf Muslim kerana banyak mengajar saya. Ashraf memang tak kedekut ilmu. Dia tak ada pun rasa nak 'makan' lakonan saya. Sebaliknya, dia sangat membantu.

"Diakui, selepas tamat penggambaran filem ini banyak ilmu lakonan saya pelajari. Walaupun lakonan saya masih banyak yang perlu diperbaiki, saya harap karya ini dapat diterima baik," katanya.

Filem yang menjalani penggambaran di Scotland pada 2018 itu turut dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, Adam Corrie dan Fauziah Nawi. Ia mula ditayangkan semalam di saluran Astro First.

Babak utama filem Ada Apa Dengan Dosa diiringi lagu tema berjudul Hakikat Jiwa, nyanyian Datin Alyah. Ia juga lagu ketuhanan pertama nyanyian penyanyi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 8:07 AM