Ayu tidak kisah kata-kata segelintir pihak. FOTO Ihsan Ayu Puteh
Ayu tidak kisah kata-kata segelintir pihak. FOTO Ihsan Ayu Puteh
Amirul Haswendy Ashari


PRODUSER Datuk Normashayu Puteh, 41, atau Ayu Puteh akui tidak kisah dengan kata-kata segelintir pihak menyifatkan keputusannya menjalani penggambaran dua filem di luar negara sebagai tindakan sia-sia.

"Saya jenis sukakan cabaran dan akan 'terjun ke dalam gaung' walau pun tidak tahu kedalamannya.

"Bagi saya, setiap filem yang saya hasilkan ada cabaran tersendiri tetapi ia perlu ditempuhi bagi merancakkan industri perfileman tempatan yang kini semakin berkembang baik," katanya.

Katanya, walaupun terpaksa bergolok bergadai melabur berjuta ringgit menjalani penggambaran filem di luar negara, ia adalah satu kepuasan.

Baginya filem tempatan perlukan anjakan paradigma dan usaha dilakukan ini adalah salah satu daripadanya.

Pada masa ini, syarikat penerbitannya sedang menerbitkan dua filem dan satu supertelefilem yang menjalani penggambaran di Wales dan Scotland, United Kingdom.

"Produser Datuk Yusof Haslam pernah mengatakan kepada saya bahawa melakukan penggambaran filem di luar negara adalah satu cabaran besar di segi perbelanjaan yang boleh melebihi kos asal dan saya perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

"Kata-katanya itu terbukti benar dan sehingga kini kos penerbitan dua filem dan supertelefilem ini sudah mencecah lebih sejuta ringgit kerana faktor sewaan lokasi, peralatan dan pelakon tambahan tempatan di sana yang perlu dibayar dalam nilai matawang sana," katanya.

Dua filem arahan Rahila Ali itu adalah Apa Ada Dengan Dosa yang dibintangi PU Riz, Ashraf Muslim, Wanna Ali dan Fasha Sandha dan Autumn Di Wales #CintaMestiMenang pula dibintangi pelakon baru Jaa Suzuran, Eyka Farhana, Keith Foo dan Wanna Ali.

Manakala supertelefilem pula berjudul Aku Bukan Gila lakonan Fasha Sandha, Beto Kusyairy dan Wanna Ali arahan pengarah sama.

Mereka berada di negara itu sejak awal Oktober dan dijangka tamat penggambaran pada awal November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 6:12 PM