JOEY melawat Enal yang dirawat di hospital selepas terkena serangan jantung.
JOEY melawat Enal yang dirawat di hospital selepas terkena serangan jantung.
Ridzuan Abdul Rahman


“ENAL sudah sedar dan boleh bercakap. tapi masih memerlukan bantuan oksigen,” kata Joey, penyanyi kumpulan Bumi Putra Rockers (BPR) mengulas situasi terkini pemain dram mereka, Enal yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ipoh akibat serangan jantung, Ahad lalu.

Enal atau nama sebenarnya Raja Zainal Abidin Raja Hasnan, 58, yang menetap di Taman Gaya, Johor memang mempunyai masalah jantung yang kronik dan pernah dimasukkan ke hospital di Johor akibat masalah sama.

Terdahulu, Enal turut hadir pada sidang media Konsert Jelajah 1000 Tahun Takkan Mungkin BPR yang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Joey atau Johari Mat Rozekhi, 56, berkata, dia difahamkan Enal berkunjung ke Ipoh bersama keluarga untuk menghadiri kenduri dan seterusnya bercuti di sebuah pusat rekreasi terkenal di situ.

Dia yang melawat Enal di Hospital Ipoh hari ini berkata, rakannya kini sudah dipindahkan ke wad Unit Penjagaan Koronari (CCU) hospital terbabit.

“Alhamdulillah dia sudah okey. Melihatkan keadaan kesihatannya sekarang, saya dan rakan lain nak dia berehat daripada terbabit dengan siri konsert yang akan membuka tirai pada 28 Disember ini di Roof Top, City Plaza, Johor Bahru.

“Tapi dia tetap berkeras untuk beraksi juga. Apapun tengoklah pada keadaan semasa kesihatannya. Kalau dia benar-benar sembuh okeylah.

“Keadaan Enal yang sakit mencetuskan idea untuk BPR mengumpul dana bagi membantunya. Kalau ada mana-mana pihak nak menderma bolehlah menghubungi kami atau datang semasa konsert nanti,” katanya.

Joey berkata, Enal kini menyara keluarga dengan berniaga nasi lemak di depan sekolah berdekatan tempat tinggalnya.

Menurutnya, pemain gitar mereka, Awang sudah hadir menziarahi Enal semalam tetapi tidak dapat berbual kerana dia masih belum sedarkan diri.

Enal sebelum ini beraksi bersama BPR dalam Konsert Silaturahim Bumi Putra Rockers di Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Mereka seterusnya bergabung lagi dalam Konsert Minggu Ini anjuran RTM di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

Pada 3 November lalu, BPR mengadakan persembahan untuk Jom Heboh di Melaka pula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 9:44 PM