Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun (lima dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan AirAsia,Tan Sri Tony Fernandes (lima dari kiri) bersama tetamu kehormat pada pengumuman usaha sama dengan Universal Music Group.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun (lima dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan AirAsia,Tan Sri Tony Fernandes (lima dari kiri) bersama tetamu kehormat pada pengumuman usaha sama dengan Universal Music Group.
Syanty Octavia Amry


KUMPULAN AirAsia dan Universal Music Group (UMG) baru-baru ini melancarkan RedRecords iaitu usaha sama membangunkan artis baharu Asia di samping mengangkat muzik pop Asia (A-Pop) kepada penonton baharu di peringkat global.

Pada majlis itu juga artis pertama naungan RedRecords turut diumumkan iaitu Jannine Weigel yang juga penyanyi, penulis lirik dan pelakon terkenal dari Thailand.

Weigel sebelum ini pernah mengeluarkan beberapa single dan EP, mempunyai lebih 600 juta tontonan dan 3.3 juta pengikut di YouTube, 3.2 juta pengikut di Facebook, 1.5 juta di Instagram serta lebih 500,000 di TikTok.

Berkongsi perasaannya menjadi artis pertama syarikat rakaman berkenaan, Weigel berkata, dia amat berbangga menjadi artis pertama di bawah RedRecords dan mempunyai sokongan daripada pasukan yang sangat hebat untuk membawa kerjaya seninya ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya percaya peminat akan menyukai pengalaman luar biasa yang kami bakal tawarkan dan saya tidak sabar memperdengarkan kepada peminat semua muzik baharu saya,” katanya.

RedRecords akan memberi tumpuan kepada pencarian dan pembangunan bakat seni dari Asia Tenggara dan seluruh Asia dengan kriteria pemilihan yang mencerminkan kepelbagaian budaya di benua itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Muzik Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif RedRecords, Hassan Choudhury berkata, ini peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan AirAsia dan UMG dalam perjalanan muzik.

“Selepas mempunyai pengalaman bekerja bersama kedua-dua syarikat terkemuka ini dan menyaksikan kekuatan mereka dalam industri masing-masing, saya berhasrat menggabungkan kreativiti kedua-dua pasukan ini untuk membantu membangunkan serta mengembangkan bakat muzik yang ada di Asia,” katanya.

RedRecords akan berpangkalan di Kuala Lumpur dan Los Angeles, Amerika Syarikat serta akan menggabungkan kepakaran industri UMG dalam pembangunan artis.

AirAsia pula dengan kekuatan pemasaran serantau dan global yang ada dapat mengembangkan muzik A-Pop untuk peminat di seluruh dunia.

Selain pembangunan artis dan A&R, syarikat rakaman itu juga akan menyediakan perkhidmatan pengedaran, pemasaran, pengurusan dan agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:30 AM