Syanty Octavia Amry


Melihat penampilan mereka mungkin ada yang menyangka mereka meniru gaya band popular dari Amerika Syarikat, Paramore.

Mungkin ia hanya kebetulan, yang pasti Sakura Band yang mempertaruhkan wanita sebagai vokalis ini enggan dikatakan meniru mana-mana artis.

Mempertaruhkan muzik pop, Sakura Band yang dianggotai Mell sebagai vokalis, Akai (bass), Anip (gitar kedua) dan Ali (gitar utama) ini mahu peminat menerima kehadiran mereka sebagai Sakura Band.

“Kami sedar apabila muncul bersama vokalis wanita ramai akan mengaitkan dengan beberapa band yang menggunakan khidmat wanita sebagai penyanyi mereka.

“Keselesaan bersama Mell tidak mempengaruhi kami untuk disamakan dengan mana-mana kumpulan. Apa yang kami mahu tonjolkan adalah muzik yang dibawa dan kami yakin tidak sama genrenya dengan kumpulan muzik yang dikaitkan.

“Kami membawa muzik pop dan menjadikan pelbagai artis sebagai rujukan antaranya Astrid, Kotak, Geisha, Abba, Aerosmith dan ramai lagi. Jadi tiada istilah kami meniru mana-mana kumpulan,” kata Mell mewakili teman-teman yang lain.

Muncul dengan single ketiga, Melepaskanmu, mereka yang menjadikan Sixth Sense sebagai rujukan ini berharap hubungan mereka sesama ahli akan berkekalan.

Malah Sixth Sense yang mampu bertahan sehingga kini antara sebab Sakura Band sering bekerjasama dengan mereka di samping mendapatkan petua untuk kekal bertahan.

“Tiga tahun ditubuhkan kami gembira apabila single ketiga sudah pun dilancarkan.

“Dengan pasaran sekarang mempunyai sebuah single memerlukan masa untuk dikenali, begitu juga dengan kami. Laluan kami tidaklah semudah artis yang lain, tetapi kami bersyukur single kami yang ada berjaya mendapat tempat di hati peminat.

“Biarlah kami bergerak dengan single dulu, jika semuanya berhasil barulah kami akan memikirkan untuk muncul dengan album penuh.

“Namun kami bersyukur, dua single sebelum ini sudah dikenali malah lagu Pelarian turut menjadi tema beberapa drama sehinggakan peminat sudah tahu itu adalah lagu kami.

“Oleh itu, kami berharap single ketiga ini akan dikenali dan menepati selera peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:08 AM