YUSOF minta penerbit dan stesen televisyen memberi peluang kepada pengarah otai untuk berkarya. FOTO Aziah Azmee
YUSOF minta penerbit dan stesen televisyen memberi peluang kepada pengarah otai untuk berkarya. FOTO Aziah Azmee

Ridzuan Abdul Rahman

[email protected]

Pemilik syarikat produksi Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam meminta perhatian turut diberikan kepada pengarah otai yang semakin kekurangan tawaran mengarah.

Yusof, 65, berkata, sama seperti pelakon veteran, golongan pengarah otai juga semakin dipinggirkan berbanding pengarah generasi baharu yang banyak diberikan tawaran oleh syarikat produksi.

“Walaupun mereka masih bagus, oleh kerana persepsi yang salah iaitu asal yang lama sahaja, terus dibuang.

“Pengarah seperti Aziz M Osman, Rashid Sibir dan beberapa lagi dianggap sudah tak relevan kerana faktor usia.

“Saya masih lagi menghargai mereka apabila memberikan peluang untuk mengarahkan drama terbitan Skop Productions. Mereka masih lagi bagus,” katanya kepada Harian Metro.

Yusof yang juga seorang pengarah terkenal menjelaskan, persepsi salah stesen televisyen adalah faktor yang menyumbang kepada masalah itu.

“Mungkin mereka lihat pengarah generasi baharu popular di media sosial seperti Instagram (IG).

“Masalahnya kita tak boleh bergantung kepada rating di IG semata-mata. Di IG, orang maki hamun buat kontroversi pun boleh jadikan seseorang itu popular.

“Ada yang buat perkara pelik dan benda yang menyakitkan hati orang pun boleh jadi tular kalau dipaparkan di situ,” katanya.

Yusof berpendapat, pengikut yang ramai menggambarkan populariti seseorang pengarah, tetapi bukanlah ukuran terhadap kejayaan sesebuah karya.

“Ada karya yang menggunakan bintang popular di IG dengan kos berjuta ringgit tapi drama dan filem mereka tiada sambutan juga.

“Ada pula yang sukses tapi ia menerusi kandungan cerita yang disampaikan dan bukan kerana pengarah itu muda atau populariti mereka menggunung.

“Saya bukan bermaksud mendewakan pengarah otai atau menolak pengarah muda, sebaliknya melihat situasi menang-menang kerana tanpa lama tiada baharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 5:46 PM