KAMAL
KAMAL
Oleh Wahi Aziz


Penerbit filem Abang Long Fadil 2 Datuk Yusof Haslam, 61, mengharapkan pelakon Kamal Adli tidak berkecil hati dan menerima keputusannya menggugurkan namanya dalam senarai pelakon filem berkenaan dengan hati yang terbuka.

Yusof ketika dihubungi berkata, keputusan berat itu terpaksa diambil bagi mengelakkan sebarang konflik ketika penggambaran yang akan bermula pertengahan bulan depan berikutan rasa kurang selesa yang dikatakan wujud antara pelakon utamanya, Zizan Razak dengan Kamal.

Difahamkan, Kamal digugurkan demi memenuhi permintaan Zizan yang dikatakan tidak mahu bekerjasama dengan pelakon itu dalam sekuel filem komedi aksi itu.

Zizan dikatakan tidak menyenangi Kamal yang didakwa menjadi punca hubungannya dengan pelakon Emma Maembong berakhir awal tahun ini.

Yusof yang juga pemilik syarikat produksi Skop Productions bagaimanapun menafikan pihaknya menurut kehendak Zizan dan keputusan itu dibuat atas faktor perniagaan.

“Kita bekerjasama dengan Astro Shaw untuk penerbitan filem ini, jadi pendapat semua pihak perlu diambil kira. Ia bukan dipengaruhi permintaan peribadi pihak tertentu, tetapi keputusan bersama.

“Saya juga sudah berbincang dengan pengarah, Syafiq dan dia juga tidak mahu pening jika ada masalah nanti. Kami terpaksa melepaskan Kamal dengan berat hati. Saya juga tidak mahu wujud perasaan kurang selesa atau konflik dalaman timbul apabila mereka terbabit dalam penggambaran nanti,” katanya.

Yusof berkata, dia menyenangi keperibadian dan cara Kamal bekerja, tetapi keputusan itu perlu diambil demi perniagaan dan penggambaran filem terbabit.

“Keadaan ini adalah lumrah dalam bidang seni di mana-mana pun. Pelakon A kurang senang dengan pelakon B dan begitulah sebaliknya.

“Janganlah ada pihak terutama Kamal sendiri berkecil hati kerana saya akan beri dia peluang lain untuk filem akan datang,” katanya.

Sementara itu, Zizan yang dihubungi enggan memberikan komen berhubung isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:02 AM