AMYRA ROSLI
AMYRA ROSLI
Georgie Joseph

PELAKON Amyra Rosli, 28, meminta orang ramai tidak keliru dengan statusnya sama ada dia sudah bertudung atau tidak.

Amyra berkata, mungkin ramai yang keliru dengan penampilan terbarunya itu memandangkan dia masih memuat naik gambar tidak bertudung di media sosial.

Menurutnya, penampilan itu kerana dia masih terikat dengan kontrak dan komitmen kerja.

“Saya tak nak menghebahkan apa-apa dan tak nak secara rasmi cakap saya sudah bertudung. Tapi orang keliru juga sebab watak yang saya bawa sekarang dalam tv pun bertudung.

“Saya masih lagi ada komitmen yang memerlukan saya untuk muat naik di media sosial yang tak bertudung. Namun bukanlah bermaksud saya kena ambil gambar tak bertudung, ia gambar lama yang pelanggan sudah luluskan dan wajib saya muat naik.

“Saya harap semua pihak jangan memaksa atau desak saya untuk cakap saya sudah bertudung sepenuhnya. Saya sendiri mahu mendiamkan diri. Doakan yang baik-baik,” katanya.

Berkongsi lanjut tindakannya terus mengenakan tudung ketika, Amyra berkata, keputusan itu datang secara semula jadi dan tidak menolak mungkin sudah sampai serunya untuk dia bertudung sepenuhnya.

“Itulah yang ajaibnya, saya tiada niat langsung, tak dapat mimpi apa-apa dan keputusan itu datang secara semula jadi. Apabila balik daripada umrah, ada tetamu datang rumah, saya terus mengenakan tudung.

“Ramai orang suka saya bertudung sebenarnya dan saya ambil itu sebagai kekuatan. Namun apa yang saya dapat di Makkah, biar saya saja tahu,” katanya.

Isteri kepada pelakon Amar Baharin itu juga lebih memilih untuk merahsiakan niat sebenarnya bertudung sekarang dan bersyukur mendapat sokongan daripada seluruh keluarga.

“Orang jadi keliru itu saya tak dapat nak elak sebab mereka mungkin tak faham kerja saya. Biarlah ambil masa, apa orang nak kata, terpulanglah asalkan saya, suami, dan keluarga tahu, cukup.

“Tiada paksaan daripada mana-mana pihak, tidak dirancang pun, dan hidayah itu datang secara tiba-tiba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 11:47 AM