ANIE EMLAN
ANIE EMLAN
Syafil Syazwan Jefri


"SAYA belum bersedia nak bertudung sepenuhnya," kata penyanyi Anie Emlan yang kini selesa dengan imej barunya yang tidak lagi bertudung.

Sebelum ini, Anie yang pernah mewakili Malaysia di pertandingan D'Academy Asia 5 (DAA5) ini tampil dengan imej bertudung ketika muncul dengan single pertama berjudul Ku Tersia pada 2018.

"Dulu memang saya pakai tudung, tapi selepas setahun saya rasa seperti belum ikhlas untuk bertudung. Jadi, saya ambil keputusan untuk tidak lagi bertudung. Saya tak menolak hakikat yang saya pernah bertudung kerana gambar-gambar promosi single pertama saya dulu adalah gambar saya masih bertudung," katanya kepada Harian Metro.

Anie yang baru melancarkan single baru berjudul Suasa Tembaga ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta serta menampilkan penyanyi rap, Sam, Anie turut mendedahkan terpaksa mengaku sebagai 'adik' Anie setiap kali diajukan soalan mengenai imej.

"Ketika masih bertudung pun, saya bertudung hanya ketika membuat persembahan tapi di luar, saya tak bertudung. Apabila ada yang berjumpa saya di luar, saya terpaksa mengaku bahawa saya bukan Anie, tetapi sebagai 'adik'nya.

"Jadi, lama-kelamaan saya rasa saya tak boleh jadi hipokrit. Saya sebenarnya belum bersedia untuk bertudung sepenuhnya," katanya.

Sehingga kini, video lirik Suasa Tembaga sudah ditonton lebih 128,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:29 PM