AMYRA tidak mahu menyusahkan pihak produksi walaupun hamil. FOTO Nurul Shafina Jemenon
AMYRA tidak mahu menyusahkan pihak produksi walaupun hamil. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Najiy Jefri


MESKIPUN hamil lima bulan, pelakon Amyra Rosli masih kuat meneruskan penggambaran drama terbaharu lakonannya, Cemburu Seorang Wanita yang kini sudah memasuki hari ke-30.

Amyra ketika ditemui berkata, dia bersyukur tidak mengalami sebarang alahan atau insiden tidak diingini ketika penggambaran terbabit dijalankan.

“Ketika tawaran ini datang saya belum hamil lagi, tapi disebabkan penggambaran ini dilanjutkan tarikhnya saya disahkan hamil namun memilih untuk meneruskannya.

“Bagi saya selagi tak cuba kita tak rasa pengalaman pahit manis apabila menjalani penggambaran ketika hamil. Jika kehamilan pertama dulu saya berehat hampir setahun dan tidak menerima sebarang tawaran.

“Namun memandangkan tawaran ini saya sudah memberi kata putus dan tidak mahu menyusahkan pihak produksi saya teruskan juga,” katanya.

Menurut Amyra, walaupun ada hari penggambaran berakhir sekitar jam 3 pagi, dia tiada masalah untuk meneruskan penggambaran.

Katanya, kehadiran suami tercinta Amar Baharin yang turut bertindak sebagai pelakon utama dalam drama terbabit membuatkan dia sentiasa dipantau supaya berada dalam keadaan baik.

“Cabaran utama yang perlu saya hadapi cuma perlu mencari pakaian bersesuaian dengan keadaan diri. Semakin hari perut makin membesar dan saya perlu mencari baju yang menutup bahagian perut.

“Selebihnya semua berjalan dengan baik. Kehadiran Amar juga menyenangkan kerana kali ini dia mendapatkan saya seorang pembantu peribadi serta dia yang sentiasa berada di sisi.

“Amar akan risau jika saya penat atau tidak sedap badan. Dia akan pastikan saya berada dalam keadaan yang selamat dan tidak tertekan,” katanya.

Selain Amyra dan Amar, drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu turut dibintangi Emma Maembong dan Adik Darwish.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 3:24 PM