Najiy Jefri


PASANGAN selebriti Amar Baharin dan Amyra Rosli bakal menimang cahaya mata perempuan pada Februari depan.

Ia diumumkan pasangan itu pada majlis memperkenalkan jantina bayi di Delicious, Bangsar Village, Kuala Lumpur, hari ini.

"Saya betul-betul terkejut sebab ingatkan bakal timang anak lelaki tapi rupa-rupanya Amyra sengaja nak buat kejutan hari ini.

“Selama ini kalau teman Amyra ke kedai buku dia selalu beli buku mengenai lelaki. Malah kalau ke klinik untuk membuat pemeriksaan pun dia tak bagi saya teman. Jadi saya betul ingatkan bakal terima anak lelaki.

MAJLIS 'Baby shower and Gender Reveal' Amyra Rosli dan Amar Bahrain di Delicious, Bangsar Village 2. FOTO NSTP: Mustaffa Kamal
MAJLIS 'Baby shower and Gender Reveal' Amyra Rosli dan Amar Bahrain di Delicious, Bangsar Village 2. FOTO NSTP: Mustaffa Kamal

“Jujur saya gembira dengan pengumuman ini kerana bakal menerima cahaya mata perempuan ini,” katanya. Sementara itu, Amyra berkata, berharap cahaya mata kedua ini dilahirkan dengan selamat.

“Anak pun masih dalam kandungan lagi dan dijangka lahir pada Februari depan. Doakan semoga urusan bersalin dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu sempena ulang tahun Amar yang ke-34 Ogos lalu, Amyra membuat kejutan terindah apabila dia mengesahkan hamil anak kedua.

Amar menikahi Amyra pada 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Aqeef Anaqi yang kini berusia dua tahun dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 5:33 PM