ALI menyampaikan tazkirah khas bertajuk Indahnya Hijrah sempena Maal Hijrah di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu semalam. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
ALI menyampaikan tazkirah khas bertajuk Indahnya Hijrah sempena Maal Hijrah di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu semalam. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI kumpulan XPDC Hijrah, Ali, 51, mahu mengambil kesempatan melakukan aktiviti dakwah di lokasi yang disinggahi kumpulannya setiap kali mengadakan persembahan.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Izo (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram) itu berkunjung ke Sabah untuk sesi bertemu peminat di A Square Container Market, Kota Kinabalu anjuran penerbit album terbaru mereka, Blockchain Island pada 31 Ogos dan 1 September lalu.

Semalam (2 September), Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail menyampaikan tazkirah khas bertajuk Indahnya Hijrah sempena Maal Hijrah di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu selepas solat Maghrib.

Ali berkata, keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada masjid yang memberikan peluang buatnya.

“Sekiranya mereka beri peluang, saya akan melakukan perkongsian pengalaman sekadar termampu.

“Untuk di Sabah, saya mempunyai hubungan baik dengan ustaz dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang memberikan tauliah khas.

“Mereka akan isi borang kebenaran buat saya. Alhamdulillah, setakat ini perkongsian saya berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia akan bercerita liku-liku penghijrahan ditempuhinya kepada jemaah yang hadir.

“Selain itu, saya juga berkongsi kerja dakwah di Syria, pedalaman Sabah dan negara Eropah selama sebulan beberapa tahun lalu.

“Biasanya perkongsian pengalaman saya memakan masa lebih satu jam dan jemaah sanggup menanti.

“Seperti di Seksyen 27, Puchong baru-baru ini, jemaah kata tak puas mendengar kisah saya walaupun lama juga bercakap,” katanya.

Ali berkata, perkongsian pengalamannya tidak terhad di masjid sahaja kerana dia turut dijemput oleh pihak swasta dan kerajaan untuk memberikan tazkirah.

“Banyak pihak termasuk bank yang undang saya untuk berikan tazkirah pada sebelah tengah hari. Saya tiada masalah nak penuhi jemputan mereka.

“Saya juga bukan nak tunjuk pandai, tapi hanya nak berkongsi apa yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Saya bukan datang sebagai seorang ustaz yang nak tunjuk ilmu. Ia sekadar perkongsian dan mudah-mudahan Allah terima apa yang disampaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ali memberitahu tidak pernah meletakkan harga tertentu dan menyerahkan kepada pertimbangan penganjur untuk memberikan harga yang sesuai.

“Cuma kalau boleh biarlah memadai. Alhamdulillah setakat ini semuanya bagus. Pihak yang mengundang pun tahu keadaan saya.

“Saya sekarang hijrah dan tawaran persembahan pun bukan lagi macam dulu. Sumber dari sini boleh dijadikan belanja untuk keluarga dan besarkan lima anak.

“Ia dikira pendapatan sambilan. Kalau ada lebih alhamdulillah. Saya kena bersyukur dengan apa yang diberi sama ada sikit atau banyak,” katanya.

Anak sulung Ali berusia 23 tahun kini belajar di sebuah pusat tahfiz di Pulau Pinang, kedua (21 tahun), ketiga (16 tahun), keempat (13 tahun) dan bongsu (11 tahun).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 4:02 PM