Ahmad Farhan (kiri) berbual dan bertanya khabar kepada Ali yang ditemani isteri.
Ahmad Farhan (kiri) berbual dan bertanya khabar kepada Ali yang ditemani isteri.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Penyanyi kumpulan XPDC Militia, Mohd Ali Ismail, 56, berterima kasih dengan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pemberian sumbangan kepadanya semalam. 

Menurut Ali, dia sangat bersyukur dan terharu apabila Perdana Menteri amat prihatin melihat isu kesihatan penggiat seni sebagai perkara besar.

Paling mengharukan sumbangan ini diterima disaat umat Islam sedang berpuasa dan akan meraikan Aidilfitri tidak lama lagi. 

"Alhamdulillah, sangat bersyukur. Hanya ini yang dapat saya katakan apabila menerima sumbangan berkenaan. Ia satu benda yang sangat baik dan bermakna buat saya. 

"Terima kasih sekali lagi Perdana Menteri kerana sama-sama menolong dan mengenang jasa penggiat seni kita yang banyak menyumbang bakti secara tidak langsung kepada masyarakat selama ini. 

"Semoga beliau (Anwar) terus berbakti pada negara dan dipermudahkan urusan pentadbirannya," katanya kepada Harian Metro. 

Ali yang sebelum ini pernah menerima sumbangan daripada beberapa pihak lain seperti Puat Zakat Selangor (PZS), menganggap sumbangan daripada Perdana Menteri agak istimewa. 

Ali pernah diserang penyakit angin ahmar dua tahun lalu, namun kini dia masih aktif menyanyi bersama kumpulan XPDC Militia membuat keputusan berehat seketika daripada nyanyian sepanjang Ramadan ini. 

"Sebenarnya selain menyanyi, saya juga kerap ditawarkan terbabit dalam program anjuran masjid seperti beri tazkirah tapi tahun ini memang tiada. 

"Kalau adapun hanya tawaran kecil, jadi boleh dikatakan Ramadan ini saya banyak berehat di rumah," katanya. 

Terdahulu, Anwar menerusi hantaran di laman Facebook miliknya semalam, memaklumkan Setiausaha Politik beliau iaitu Ahmad Farhan Fauzi berkesempatan menziarahi dan memberikan sedikit sumbangan kepada Ali di kediamannya di Bandar Salak Tinggi, Selangor, Selasa lalu.

Anwar turut mendoakan kesihatan dan keselamatan Ali agar sentiasa diberikan kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta.

Katanya, beliau juga difahamkan Ali sekeluarga kini hanya bergantung pendapatan hasil jualan produk maruku yang diusahakan isterinya dan boleh dihubungi di talian 011-70700885.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 12:49 PM