AIMAN kagumi penyanyi lagu Awan Nano sejak Akademi Fantasia lagi.
AIMAN kagumi penyanyi lagu Awan Nano sejak Akademi Fantasia lagi.
Ardini Sophia Sina


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah yang berlaku kepada penyanyi remaja, Aiman Tino yang terus dikenali dengan single pertama, Ku Rela Dibenci.

Kehadirannya diterima dengan baik malah lagu itu juga membawa tuah kepadanya apabila berjaya ke peringkat akhir pertandingan prestij Anugerah Juara Lagu (AJL) Januari lalu.

Sebagai penyanyi baru, tentunya Aiman atau Mohammad Aiman Yusri, 19, mempunyai idola yang dikagumi dan menyimpan impian untuk berjaya sepertinya.

Ternyata Aiman menjadikan Hafiz Suip sebagai selebriti yang ingin dicontohi. Kata Aiman, dia mula meminati pelantun lagu Awan Nano itu sejak Hafiz masih bergelar pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) lagi. Dia tidak pernah melepaskan peluang menonton persembahan penyanyi berasal dari Sarawak itu.

“Ketika itu saya baru 11 tahun dan sanggup datang menyaksikan sendiri konsert AF semata-mata mahu melihat Hafiz menyanyi dengan menyertai kelab peminatnya.

“Kehadiran saya untuk memberi sokongan kepadanya dan rasanya saya penyokong paling muda yang datang. Ketika duduk di kawasan disediakan khas untuk penyokong Hafiz, penyokong yang duduk di hadapan saya kadangkala menghalang penglihatan kerana saya rendah.

“Setiap kali Hafiz menyanyi, saya sanggup berdiri atas kerusi agar dapat melihat dengan jelas persembahannya. Saya suka melihat cara Hafiz menyampaikan lagu secara bersahaja tetapi bertenaga,” katanya.

Mengakui sering menyertai pertandingan menyanyi, Aiman tidak menyangka dia kini berada dalam industri yang sama dengan penyanyi kesayangannya.

Dalam tempoh singkat, dia turut berjaya menjadi finalis AJL31. Bukan hanya gembira lagunya layak bertanding, malah lebih mengujakan Aiman kerana berpeluang berkongsi pentas dengan penyanyi pujaannya yang turut layak menerusi lagu Terimaku Seadanya duet bersama Misha Omar.

“Saya tidak pernah terfikir untuk jadi penyanyi apatah lagi berentap di AJL dan berkongsi pentas dengan Hafiz. Saya seperti bermimpi. Ia cukup mendebarkan dan pada masa sama mengujakan.

“Sudah pasti ini satu penghormatan buat penyanyi baru seperti saya. Apabila berada dalam industri, saya berpeluang melihat persembahannya dari jarak dekat dan belajar penghayatan serta cara Hafiz sampaikan sesebuah lagu,” katanya.

Kata Aiman, dia bukan hanya terpukau dengan vokal dan penghayatan Hafiz tetapi turut mengagumi sikap merendah diri dan peramah penyanyi itu apabila bertemu.

“Sepanjang sesi latihan AJL31 lalu, Hafiz banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya. Saya sangat menghargai setiap nasihat dan tip yang diberikan.

“Pertemuan itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan sebagai penyanyi. Walaupun tidak diluahkan secara langsung, saya anggap Hafiz sebagai ‘guru’ saya,” katanya.

Aiman juga kagum dengan pencapaian Hafiz yang pernah berduet dengan penyanyi terkenal tanah air dan luar negara seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Rossa.

Lebih mengagumkan, Hafiz sering menang anugerah di AJL terutama vokal menang tiga kali. Kejayaan positif itulah yang mendorongnya menjadi penyanyi yang baik.

Katanya, menjadikan Hafiz sebagai idola tidak bermakna dia meniru penyanyi itu tetapi setiap orang pasti menjadikan seseorang yang berjaya sebagai sumber inspirasi dan pembakar semangat.

Kini apabila sama-sama bergiat dalam dunia seni, secara tidak langsung memberi peluang kepada Aiman untuk bersaing dengan idolanya.

Bagaimanapun kata Aiman, dia menceburi bidang seni suara kerana minat. Dia tidak mahu bersaing dengan sesiapa dan hanya berusaha menjadi penyanyi disegani.

“Dari dulu hingga kini, saya melihatnya sebagai idola yang memberi sumber inspirasi dan semangat agar saya terus berusaha menjadi yang terbaik dan mengecapi kejayaan sama sepertinya.

“Waktu sama, saya akan terus menjadi penyokong tegarnya. Pentas seni hanyalah landasan untuk saya belajar lebih banyak darinya. Saya bukan jadi penyanyi untuk bersaing dengan sesiapa pun,” katanya.

Mewarisi bakat ayahnya, Yusri Ishak yang juga finalis Bintang HMI, Aiman kini muncul dengan single kedua, Permata Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:05 AM